Kenal pasti keperluan sukan permotoran belia

Friday, August 10, 2018

Kenal pasti keperluan sukan permotoran belia

Kenal pasti keperluan sukan permotoran belia

KUANTAN - Satu perjumpaan bersama wakil belia akan diaturkan bagi membincangkan keperluan sebenar golongan itu dalam aktiviti sukan dan permotoran.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sedia maklum dengan kehendak golongan muda yang memerlukan sebuah litar bagi menjalankan aktiviti permotoran secara sah di sini bagaimanapun ada keperluan untuk melihat keperluan sebenar dan jenis litar yang dimaksudkan.

“Saya ada pengalaman dalam sukan permotoran ini ketika menerajui Majlis Belia Malaysia dahulu.Sukan permotoran ini ada banyak kategori jadi kita perlu kenal pasti keperluan sebenar berdasarkan minat belia di sini.

“Tiada guna kita mengeluarkan peruntukkan besar bagi membina litar dan sebagainya jika akhirnya ia tidak mendapat sambutan kerana tidak kena dengan minat mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Luar Negeri berkata, semasa bergelar Ahli Parlimen Temerloh sebelum ini, golongan muda di sana lebih berminat dengan sukan permotoran offroad, jadi diusahakan untuk bangunkan litar yang sesuai dengan minat mereka itu.

“Perkara sama yang kita akan laksanakan di sini. Harapnya hasil pertemuan dan perbincangan itu nanti, kita semua dapat mengenalpasti keperluan sebanar litar ini sebelum mengambil proses seterusnya,” katanya.

Sebelum ini timbul desakan golongan muda agar satu litar dibina setidak-tidaknya litar sementara bagi menjalankan aktiviti permotoran secara sah dan selamat.

Ekoran ketiadaan litar sesuai, timbul isu apabila ada peminat motosikal dan kereta menjadikan jalan raya sebagai tempat beraksi selain menjadikan kawasan tertentu sebagai litar sementara untuk berluma termasuk perlumbaan drag.

Bagaimanapun, ‘litar sementara’ yang menjadi tumpauan peminat drag di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14 di sini digempur polis selepas menerima aduan berhubung penganjuran perlumbaan secara haram.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau sedang mengenalpasti penjenamaan yang sesuai untuk Indera Mahkota.

“Jika Temerloh dengan bandar patinnya, Rompin dengan udang galah, jadi saya juga sedang fikirkan identiti sesuai untuk Indera Mahkota ini.

“Antara fokus kita mempopularkan produk hasil perikanan Beserah.Itu yang sedang kita lihat dan dilaksanakan secara berperingkat,’katanya.

Beliau berkata, antara yang boleh diusahakan termasuk membangunkan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran (3P) di kawasan jeti nelayan di Beserah.

“Kita sedang lihat perkara ini tetapi semuanya perlu kepada kajian menyeluruh sebelum ianya dilaksanakan,”katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment