Berkat sayangkan haiwan

Sunday, August 12, 2018

Berkat sayangkan haiwan

Berkat sayangkan haiwan

 TIDAK pernah terlintas difikirkan bahawa cintanya terhadap haiwan, menjadikannya seorang wanita bergelar usahawan kini.

Tiga tahun lalu, atas sokongan dan semangat diberikan seluruh keluarga, Salina Abd Kadir tekad membuka perniagaannya sendiri.

Faktor semangat berkobar dan dorongan diterima, maka Salina berjaya menubuhkan syarikatnya, DD Bangi Pet Shop.

Melangkah masuk ke DD Bangi Pet Shop, pelanggan turut ‘disambut’ keletah si comel yang merupakan haiwan peliharaan Salina yang diberi nama Bunga iaitu seekor monyet daripada spesies dusky leaf monkey.

Keletahnya yang jinak, manja dan sering menunjukkan aksi ‘nakal’ menjadi salah satu daya tarikan di DD Bangi Pet Shop.

Malah, aksinya yang lincah benar-benar mencuit hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Tidak setakat itu, kucing peliharaan Salina dan keluarganya turut dilepas bebas di dalam kawasan kedai.

Sesekali haiwan-haiwan comel ini dilihat bermain-main di taman permainan yang disediakan khas untuk pelanggan yang berkunjung di DD Bangi Pet Shop.

Dibuka mulai jam 10 pagi hingga 7.30 malam, DD Bangi Pet Shop beroperasi sepanjang hari termasuk pada hujung minggu dan cuti kelepasan am.

Jual makanan halal sahaja

Terletak di Bandar Baru Bangi, DD Bangi Pet Shop sudah tiga tahun beroperasi.

Ia menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pencinta haiwan peliharaan terutamanya kucing, arnab dan monyet spesies dusky leaf monkey.

Salina berkata, DD Bangi Pet Shop amat menitik beratkan soal kebersihan dan keselesaan pelanggan serta haiwan peliharaan.

“Kerana itu setiap perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan berkualiti. Ini termasuk setiap makanan, nutrisi dan vitamin yang dijual.

“Di DD Bangi Pet Shop, kami juga pastikan setiap produk makanan selain berkualiti baik, premium ia juga mesti halal," katanya.

Jelasnya, semua jenis makanan dijual termasuk jenis basah dan kering.

"Tidak dinafikan terdapat makanan haiwan yang diperbuat daripada tulang dan daging khinzir. Kerana itu, di kedai ini kami pastikan hanya yang halal sahaja dijual,” katanya.

Sebagai menambah baik keperluan si comel, Salina memberitahu kedai ini turut menjual beberapa jenis vitamin dan ubatan untuk kegunaan luaran.

Bezanya di DD bangi Pet Shop, ia tidak menyediakan perkhidmatan veterinar.

"Tetapi kami memberi perkhidmatan farmasi dengan menjual ubat-ubatan untuk kegunaan luaran sahaja bagi rawatan ringan seperti ubat luka dan kutu.

"Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai jenis vitamin haiwan termasuk ‘booster’ menambah berat badan untuk kucing." katanya. 

'Pelanggan comel' diberi layanan terbaik                

Antara kelainan ditampilkan DD Bangi Pet Shop, ia menawarkan perkhidmatan salon dan spa dalam ruangan berkaca.

Setiap pemilik haiwan peliharaan boleh melihat bagaimana pekerja membersihkan dan memandikan haiwan mereka.

“Perkhidmatan ini paling mendapat sambutan. Setiap hujung minggu terutama Ahad, salon memang penuh. Jika pada hari biasa kami menerima lebih kurang 13 pelanggan dalam sehari. Setiap perkhidmatan mengambil masa kira-kira 45 minit bergantung kepada saiz haiwan tersebut.

“Antara perkhidmatan diberikan adalah memotong kuku, membersihkan telinga, trim tapak tangan-kaki kucing dan arnab, serta memandikan. Untuk manci terdapat tiga jenis, iaitu mandian biasa, mandian rawatan kutu dan mandian rawatan fungus.

“Kerja-kerja pembersihan dibuat begitu teliti. Pekerja akan memastikan setiap ‘pelanggan comel’ kami keluar dari salon dalam keadaan benar-benar bersih, cantik dan rapi,” katanya.

Sementara menunggu pemilik mereka datang, Salina berkata, haiwan ini turut dibiarkan bebas dan bermain di taman permainan yang dibuat khas.

Ada juga yang dibiarkan berehat sementara menunggu giliran panjang untuk merapikan diri.

Selain itu DD Bangi Pet Shop turut menyediakan ruang khas, Pet Fashion bagi kelengkapan fesyen khas untuk kucing, arnab dan dusky leaf monkey.

“Di sini boleh dikatakan semua lengkap. Dari baju, lampin pakai buang dan pelbagai aksesori seperti rantai leher. Kami sentiasa mengikuti trend terkini, daripada pakaian dan keperluan asas seperti makanan kucing,” katanya.

Manakala di tingkat satu bangunan, turut disediakan hotel kucing yang boleh memuatkan 100 ekor dalam satu-satu masa.

Bagi memastikan tahap kebersihan dijaga. Kawasan hotel akan dibersihkan dua kali sehari. Hotel ini turut dilengkapi penghawa dingin dan caj perkhidmatan bermula RM20 semalam.

“Pernah satu ketika, pelanggan kecil kami datang ke hotel berusia 15 tahun. Usianya sudah tua, tetapi masih sihat. Cuma kucing ini tiada gigi, dan pekerja perlu menyuap makanan menggunakan tangan. Ini antara pengalaman berharga dan sukar dilupakan,” katanya.

Selain menempatkan kucing, hotel ini juga menerima ‘tetamu’ lain seperti arnab dan tupai tanah. Dibuka setiap hari, termasuk cuti umum. Setiap haiwan diberi makanan premium selain disediakan taman permainan untuk mereka bermain.

Belajar kenali karakter haiwan

Memulakan perniagaan sendiri bersama keluarga bukan mudah. Setiap pekerjaan itu ada cabarannya dan bukan semua orang mampu memberikan kualiti kerja yang baik ketika berdepan dengan haiwan.

Salina berkata, untuk memulakan perniagaan sebegini penting usahawan mengetahui asas dan mengenali karakter haiwan.

“Walaupun, kami tidak menyediakan perkhidmatan veterinar, tetapi kita perlu faham karakter haiwan tersebut.

“Kerana itu, di sini kami pastikan setiap pekerja sayangkan haiwan, suka kucing dan bijak mengawal emosi bila berdepan karenah haiwan,” katanya.

Tambah Salina, apa juga pekerjaan dilakukan, perlu ada kesungguhan dan minat.

“Haiwan juga ada perasaan, jika tuannya beremosi, haiwan juga akan menunjukkan reaksi sama seperti melawan ketika dimarahi. Haiwan JUGA sensitif. Jadi setiap pekerja juga perlu faham karakter haiwan,” katanya.

Salina turut membuat kajian sendiri dan belajar tentang karakter haiwan. Ini termasuk cara berinteraksi dengan haiwan seperti kucing dan mengenal pasti setiap tingkah laku mereka.

“Bercakap dengan haiwan pun ada caranya. Jika kita mahu kucing mendengar kata, tidak nakal, pandang matanya dan nasihat, kemudian kelipkan mata sebagai tanda anda berkomunikasi dengannya,” katanya.

Cawangan baharu di Setia Alam

Salina turut berhasrat melebarkan perniagaannya dengan membuka cawangan kedua di Setia Alam, Shah Alam di jangka pada akhir tahun ini.

“Masih mengekalkan konsep sama, iaitu mesra pengguna dan keluarga. Saya mahu pelanggan selesa berkunjung ke kedai baharu, sama seperti di cawangan utama di Bangi.

“Pada masa sama saya juga berhasrat jadi antara pemborong barangan haiwan. Berbanding sebelum ini, jika kita ambil barangan haiwan daripada pemborong tempatan, harganya agak mahal. Ini memaksa pekedai mengenakan caj yang mahal,” katanya sambil memberitahu melalui cara itu, beliau dapat membantu pencinta kucing mendapatkan barangan berkualiti dan trendy pada harga berpatutan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment