Belum tahap bencana nasional
JAKARTA - INDONESIA. Presiden Joko Widodo atau Jokowi secara rasmi menandatangani Arahan Presiden (Inpres) untuk menangani gempa di Lombok.
Arahan dikeluarkan presiden itu membolehkan kerajaan pusat mempunyai kuasa besar untuk mengendalikan bencana yang telah meragut lebih 500 nyawa itu.
Beliau berkata, walaupun tanpa Inpres, kerajaan pusat telah membantu memulihkan keadaan di Lombok, malah pemerintah wilayah dan daerah sudah bekerjasama menangani situasi di kawasan teruk terjejas, terutama di Lombok Utara.
Sejak beberapa hari lalu, beberapa pihak turut menggesa Jokowi menukar kejadian gempa itu kepada bencana nasional.
Bagaimanapun, beliau berpendapat status seumpama itu tidak terlalu penting kerana bantuan telah dihantar antara kerajaan pusat dan pemerintah daerah pada skala nasional.
"Ia masih dilakukan secara berperingkat terutama berkaitan pemberian bantuan mengikut kategori," katanya, hari ini.
Difahamkan, bekas Gabenor Jakarta itu juga akan kembali melawat Lombok dalam masa terdekat untuk melihat bagaimana bantuan kepada mangsa gempa dikendalikan.
Kelmarin, Setiausaha Kabinet, Pramono Anung menjelaskan sebab kerajaan belum menetapkan gempa Lombok sebagai bencana nasional.
"Jika ia diisytiharkan sebagai bencana nasional, seluruh kawasan itu akan ditutup kepada pelancong dan ia dikhuatiri akan menjejaskan sektor pelancongan di Nusa Tenggara Barat. Penutupan itu akan melibatkan seluruh Pulau Lombok dan bakal menyebabkan kerugian lebih banyak," ujarnya. - IDN Times
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment