'Payah kalau tiada air...'

Tuesday, October 9, 2018

'Payah kalau tiada air...'

'Payah kalau tiada air...'

PUCHONG - Ganguan bekalan air di beberapa daerah sekitar Selangor menimbulkan kesukaran buat peniagan di sekitar Taman Wawasan bagi menjalankan operasi harian mereka.

Menerusi tinjauan Sinar Harian, kebanyakan peniaga dilihat mengeluh walaupun mereka sempat membuat persiapan awal bagi menghadapi gangguan bekalan air dalam tempoh 72 jam itu.

Seorang peniaga restoran, Shah Jahan, 53, berkata sejak menerima notis mengenai gangguan itu, pihaknya telah membuat persiapan awal dengan menyimpan bekalan air untuk mengelakan kesulitan buat para pelanggannya.

“Air di kawasan ini mula tiada sejak pagi semalam namun saya telah membuat persediaan dengan menyimpan bekalan di dalam tong-tong yang disediakan,”katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengguna di empat daerah di negeri ini bakal berdepan gangguan bekalan air bermula 9 pagi semalam.

Difahamkan, gangguan tersebut dianggarkan berlaku dalam tempoh antara 30 hingga 72 jam bagi membolehkan kerja-kerja penggantian perkakasan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dilakukan.

Mengulas lanjut, Shah Jahan berkata dia juga turut memperuntukan kira-kira RM100 bagi membeli pinggan kertas untuk kegunaan pelanggannya.

“Saya hanya beli pinggan kertas kerana ia mudah dan boleh pakai buang. Namun untuk air, kami tetap memberi gelas kepada pelanggan kerana ia tidak susah untuk dicuci.

“Walaupun tempoh gangguan tidak lama namun ia tetap memberi sedikit kesulitan buat peniaga,”katanya.

Di samping itu, seorang kakitangan pusat dobi, Misna Osman, 43, berkata, operasi di premisnya sedikit terganggu susulan daripada gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di sini.

Menurut Misna, pihaknya juga sudah tidak mengambil upah daripada pelanggan sejak Ahad lalu bagi menggelakan sebarang permasalahan sewaktu tempoh gangguan bekalan air tersebut.

“Kami berhenti terima pelanggan sejak Ahad lalu dan selepas gangguan ini berakhir, kami akan meneruskan kembali operasi seperti biasa.

“Ini kerana kami tidak mahu ambil risiko susulan daripada gangguan bekalan air ini,”katanya.

Dalam pada itu, seorang pesara, S. Vignes, 64, berharap agar ganguan bekalan air di kawasan berkenaan dapat pulih mengikut tempoh yang ditetapkan bagi menggelakan sebarang kesulitan.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk dapat membuat persediaan secukupnya pada kali ini susulan daripada notis pemakluman yang dikeluarkan awal oleh pihak bertanggungjawab.

“Gangguan pada kali ini tidak seperti sebelum ini kerana kami dapat buat persediaan awal dan saya harap ia tidak melebihi tempoh ditetapkan,”katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment