Geng curi motosikal tumpas, empat remaja ditahan

Tuesday, October 9, 2018

Geng curi motosikal tumpas, empat remaja ditahan


Kesemua remaja berusia 12 hingga 14 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam oleh anggota dari Balai Polis Pandan Indah.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamza Alias berkata, dua daripada remaja terbabit ditahan di Jalan Mewah Utara, Pandan Mewah ketika menaiki sebuah motosikal jenama Modenas Kriss berwarna hitam bersama seorang lagi rakan mereka.

"Pada mulanya, anggota kami telah mengekori ketiga-tiga remaja berkenaan sehingga ke Apartment Mesra Ria, Taman Pandan Mesra dekat sini dan apabila diminta berhenti, seorang daripada mereka lari manakala dua lagi dapat ditangkap.

"Hasil semakan mendapati motosikal yang dinaiki mereka dilaporkan hilang pada 1 Oktober lalu di daerah ini," katanya di sini hari ini.

Tambah Hamza, soal siasat ke atas remaja berkenaan membawa kepada penahanan dua lagi rakan mereka.

"Semakan lanjut, kesemua remaja ini tidak terlibat dengan mana-mana sindiket curi motor dan mereka disyaki menggunakan kunci motosikal lain untuk menghidupkan motosikal yang dicuri.

"Kesemua mereka direman selama empat hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan kita juga masih memburu seorang lagi rakan mereka yang masih bebas," ujarnya. - UTUSAN ONLINE



sumber: utusan

0 comments:

Post a Comment