Ibu Adam, sudah pulang

Thursday, October 4, 2018

Ibu Adam, sudah pulang

Ibu Adam, sudah pulang

MELAKA TENGAH - Penantian seorang kanak-kanak, Muhammad Adam Mikail Abdullah, 8, terhadap ibu kandungnya yang menghilangkan diri sejak dia berusia setahun kini berakhir, apabila wanita itu pulang ke pangkuan keluarga, hari ini.

Norhidayah Ahmad, 30, yang selama ini menetap di Terengganu tiba di Wad Kanak-Kanak Hospital Kem Terendak kira-kira jam 1 tengahari tadi.

Bapa angkatnya, Mohammad Noh Jantan, 59, berkata, Norhidayah terus membuat keputusan untuk pulang kepangkuan keluarga selepas menyedari kisah anaknya, Muhammad Adam Mikail terpapar di media sosial.

Menurutnya, dia bersyukur apa yang dihajatkan selama ini telah termakbul dan berterima kasih kepada pihak yang banyak membantu mencari ibu kandung cucu angkatnya itu.

"Pak cik amat terharu dan bersyukur kerana Norhidayah sudah pulang ke pangkuan keluarga. Dia berjanji dengan pak cik akan menjaga anaknya Adam dan menetap di sini.

"Di samping itu, pak cik akan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Adam Mikail baharu sahaja dibenarkan pulang ke rumah selepas tiga hari di rawat di hospital setelah mengalami muntah-muntah dan cirit-birit.

Sinar Harian Ogos lalu melaporkan mengenai kisah seorang kanak-kanak, Muhammad Adam Mikail Abdullah, yang pernah didera teman lelaki ibu kandungnya lapan tahun lalu di Kuantan, Pahang.

Kesan daripada kejadian itu, Muhammad Adam kini menderita akibat Celebral Palsy iaitu sejenis penyakit yang dikaitkan dengan masalah kecederaan pada otak sehingga menyebabkan ototnya mengecut.

Kanak-kanak terbabit bersama abangnya Muhammad Mukhriz Rusaidi Abdullah, 10, kini dipelihara oleh datuknya, Mohammad Noh Jantan, 59 di Kampung Bukit Rambai, di sini selepas ibu kandung mereka menghilangkan diri.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment