Jualan batik cecah RM108 juta

Thursday, October 4, 2018

Jualan batik cecah RM108 juta

Jualan batik cecah RM108 juta

HASIL tekstil batik mendominasi industri kraf negara dengan nilai jualannya dari Januari-Ogos tahun ini mencecah sehingga RM108 juta.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail berkata beliau yakin nilai jualan kraf batik akan terus melonjak ke tahap yang lebih tinggi menerusi pengiktirafan kualiti yang dilaksanakan.

Beliau berkata bagi memastikan produk batik yang dihasilkan berkualiti, Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Sirim  Berhad dan Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan Standard Malaysia MS 692 Batik Malaysia khusus bagi memperincikan kriteria kualiti yang perlu dipatuhi oleh pengeluar batik tempatan.

“Standard ini terpakai kepada semua jenis batik iaitu Batik Canting, Batik Terap,d an Batik Skrin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pematuhan Standard MS 692 Batik Malaysia di di sini, hari ini, yang menyaksikan 11 usahawan kraf batik yang menghasilkan produk berkualiti mengikut piawaian yang ditetapkan menerima Sijil Pematuhan Standard MS 692 Batik Malaysia.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Pembatek Melayu Pantai Timur Kamaroz Zaman Mohd Salleh, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha-Pengusaha Batik Terengganu Shafei Ghazali, dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan Sohibul Azri Ahmad.

Ibrahim berkata dengan adanya pengiktirafan dan pengujian kualiti batik Malaysia, ia diharap dapat diterima secara terbuka oleh semua usahawan batik seluruh negara bagi mengukuhkan industri kraf negara dan menurutnya sejak standard itu diperkenalkan pada 2015, seramai 83 usahawan batik lulus ujian kualiti berkenaan.

Beliau berkata sehingga Ogos tahun ini, 5,504 sahawan kraf telah berdaftar dan bergiat aktif dengan Kraftangan Malaysia, dan daripada jumlah itu 1,686 adalah usahawan kraf tekstil dengan 666 orang usahawan kraf batik. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment