Penghormatan terakhir buat wira negara

Thursday, October 4, 2018

Penghormatan terakhir buat wira negara


SUASANA pilu menyelubungi Kampung Baru Beserah, di sini, apabila lebih 200 anggota bomba, saudara dan rakan Allahyarham Mohd Fatah Hasim berkumpul memberi penghormatan terakhir di rumahnya.

Ada yang tiba seawal jam 9 pagi, termasuk rakan sejawatnya dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang yang sebahagian besarnya masih terkejut dengan pemergian Allahyarham.

Van Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membawa jenazah Mohd Fatah, anak kelima daripada tujuh beradik itu tiba di perkarangan rumahnya kira-kira jam 2.40 petang.

Jenazah Allahyarham ditemani isterinya, Noor Nadia Kamaludin, 29, dari Kuala Lumpur sebelum ditenteramkan beberapa anggota bomba wanita ke dalam rumah keluarga Mohd Fatah.

Ada juga rakan Allahyarham yang tidak dapat menahan sebak apabila jenazah dimasukkan semula ke dalam van untuk di bawa ke Masjid Beserah untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Beserah kira-kira jam 4 petang tadi.

Mohd Fatah adalah seorang daripada enam anggota Bomba dan Penyelamat yang lemas dalam tragedi arus deras ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.

Semua jenazah disembahyangkan di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Selangor sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Mangsa lain adalah Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment