Yamani Hafez digesa kosongkan kerusi Parlimen Sipitang

Saturday, August 11, 2018

Yamani Hafez digesa kosongkan kerusi Parlimen Sipitang

Yamani Hafez digesa kosongkan kerusi Parlimen Sipitang

SIPITANG - Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa digesa mengosongkan kerusi Parlimen itu jika tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam gesaannya, Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata sejak PRU14 kira-kira tiga bulan lalu hingga sekarang, Yamani Hafez gagal 'munculkan diri' dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang memilihnya.

“Jadi sia-sialah rakyat yang telah memilih beliau sebagai Ahli Parlimen Sipitang,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Yamani Hafez perlu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada rakyat memilih wakil baharu yang dapat mendengar serta membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Kita tahu dia dilahirkan dalam keluarga berada dan tidak biasa masuk kampung, mungkin  sebab  itulah (beliau) rasa tidak perlu turun padang,” katanya.

Yamani Hafez yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Sabah dan anak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman tidak hadir mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada upacara yang berlangsung 16 Julai lalu.

Media sebelum ini melaporkan keberadaannya turut menimbulkan tanda tanya dan polis  dilaporkan tidak menolak kemungkinan Yamani Hafez berada di London bersama-sama bapanya yang kini dalam  buruan  pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu  siasatan  beberapa kes.

Yamani Hafez mempunyai tempoh sehingga Januari tahun depan untuk mengangkat sumpah  sebagai Anggota Parlimen atau kerusinya akan diisytiharkan kosong.

Terdahulu, Yusof mengadakan dialog bersama masyarakat Kampung Long Pasia dekat sini yang terletak dalam kawasan Dun Sidumin, iaitu satu antara Dun dalam Parlimen Sipitang.

Kampung Long Pasia yang terletak kira-kira 115 kilometer dari pekan Sipitang mempunyai kira-kira 1,000 penduduk daripada suku kaum Lundayeh.- Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment