SMEX 2018 platform terbaik
PAMERAN Pembuatan Pintar (SMEX) 2018 menjadi platform terbaik buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menerokai industri pembuatan pintar.
Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, pameran tersebut membuka peluang kepada usahawan tempatan mengambil bahagian dan melihat apakah kemajuan teknologi dan jentera serta peluang dalam Industri Revolusi 4.0 sekali gus menjalin kerjasama da-gangan dua hala China-Malaysia.
"Ia juga peluang buat IKS tempatan mengeksport produk ke pasaran antarabangsa dan tidak hanya fokus pada pasaran tempatan," katanya pada sidang media SMEX 2018, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah Eksekutif Perdasama, Datuk Naim Mohamad dan Timbalan Eksekutif Pengurus Besar, CMEC International Exhibition Co Ltd, Amy Zhao.
Bertempat di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), SMEX 2018 akan disertai seramai 93 syarikat melibatkan 80 peratus daripada China dan selebihnya syarikat tempatan.
Amy Zhao yang juga penganjur pameran berkata, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan mencecah RM408 bilion.
"China adalah pasaran eksport penting dan sumber import terbesar Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, pembinaan infrastruktur, tenaga, pembuatan, komunikasi, ekonomi digital dan kewangan. Dalam tahun kebelakangan ini, ekonomi China berpindah dari pertumbuhan kelajuan tinggi ke pembangunan berkualiti tinggi," katanya.
SMEX 2018, anjuran bersama Kementerian Perdagangan Republik China, Biro Pembangunan Perdagangan, Kementerian Perdagangan China dan CMEC International Exhibition Co Ltd dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).
Pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang empat hari pameran, antaranya Forum Industri China 4.0 Fluid Power Market, forum Pembuatan Pintar, forum Malaysia-China Smart Silk Road dan jaringan perniagaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment