Pilih Bersatu kerana yakin kepimpinan PM
PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mendapat sokongan dan keyakinan rakyat apabila seramai 80 orang menyertai parti itu hari ini.
Kesemua mereka yang merupakan rakyat di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS) itu menyerahkan borang keahlian mereka secara rasmi kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya dalam satu majlis ringkas di Taman Seri Manja, di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu PJS, Hairiz Hamzah dan Setiausaha Biro Sukarelawan Briged Aman dan Kebajikan Bersatu Pusat, Azhari Yusof.
Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui dalam majlis itu menyifatkan penerimaan keahlian baharu itu merupakan satu gelombang yang menunjukkan keyakinan orang Melayu terhadap prinsip serta perjuangan yang didokong oleh Bersatu.
"Malah, kebersamaan mereka ini turut menandakan sokongan penuh mereka kepada kepimpinan Pakatan Harapan yang dikemudi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kita mengharapkan lebih ramai lagi rakyat supaya bersama-sama dengan Bersatu dan Pakatan Harapan dalam mencorakkan masa depan negara yang lebih baik pada masa depan," ujarnya.
Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu turut menyatakan kesediaan beliau untuk menerima permohonan daripada rakyat yang berminat menyertai Bersatu di setiap pelusuk di negara ini.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment