Penduduk bantah projek pembangunan tanah

Tuesday, August 28, 2018

Penduduk bantah projek pembangunan tanah

Penduduk bantah projek pembangunan tanah

PASIR PUTEH - Lebih 100 penduduk Kampung Haji Wan Omar, Semerak membantah tindakan memajukan tanah rezab kerajaan di kampung itu termasuk padang bola.

Wakil penduduk, Rohim Deraman, 63, berkata, penduduk terkejut melihat beberapa pekerja memacakkan batu sempadan tiga hari lepas seperti ingin memajukan kawasan itu dengan projek perumahan.

Menurutnya, mereka kecewa kerana sudah 35 tahun menikmati kemudahan tanah kerajaan itu dan kini ia akan diambil untuk projek pembangunan.

"Padang inilah anak muda main bola, tempat penduduk adakan program bagi mengeratkan silaturahim," katanya.

Seorang lagi penduduk, Che Awang Ismail, 53, berkata, penduduk boleh menerima jika projek yang dibangunkan untuk kepentingan masyarakat seperti hospital dan sekolah.

Katanya, pihak berkenaan sewajarnya menjelaskan projek yang hendak dibangunkan supaya penduduk memahaminya.

"Kalau untuk bina sekolah atau hospital, kita terima tapi kita tidak boleh terima jika diserahkan kepada pemaju membangunkan projek perumahan," katanya.

Sementara itu, Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, sebahagian tanah kerajaan di kampung itu diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan untuk membangunkan Hospital Islam dan sebahagian lagi sebagai tapak baharu Sekolah Kebangsaan Tok Bali.

Menurutnya, sebahagian lagi akan dibangunkan dengan projek perumahan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh.

"Memang kawasan itu akan dibangunkan tetapi padang bola untuk penduduk dikekalkan, cuma tapaknya mungkin dialihkan sedikit," katanya.

Beliau berkata, dalam isu tersebut, penduduk berhak membantah tetapi tidak wajar membuat sebarang provokasi yang boleh mengeruhkan keadaan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment