Nasihat kepada Cina Muslim
APA peranan kamu dalam arus Malaysia baharu? Malaysia sedang mengalami arus perubahan yang hebat. Rakyat makin berfikir kritis sehingga menjatuhkan parti BN yang telah memerintah Malaysia selama 61 tahun. Tahap intelek rakyat makin progresif ke depan.
Dulu kamu digelar mualaf. Setelah 20 tahun peluk Islam pun kamu masih digelar mualaf. Kamu sendiri pun rela digelar mualaf. Cuba muhasabah diri mengapa kamu anggap diri kamu mualaf? Sejauh manakah tahap intelek kamu?
Seorang Melayu atau mamak tidak akan sekali-kali mengatakan dirinya seorang mualaf. Kamu pula rasa selesa dengan label mualaf.
Kamu rasa seronok menceritakan pengalaman hijrah kamu ke Islam. Mudah. Sekadar pengalaman. Lebih dramatis lagi bila pengalaman kamu membuat hati rasa sayu dan menitiskan air mata. Cerita tentang pengalaman hijrah ini memang boleh mengetuk pintu hati mereka yang lahir sebagai Muslimin supaya mereka sedar betapa bernilainya Islam untuk mereka yang mencari kebenaran.
Tetapi selepas 20 tahun peluk Islam, kamu masih sekadar bercerita tentang pengalaman hijrah kamu. Selama 20 tahun ini, apa yang kamu belajar tentang Islam? Mengapa tidak kamu cerita tentang Sirah Rasulullah pula? Mengapa tidak kamu cerita tentang kisah hidup dan perjuangan para Sahabat Nabi SAW?
Ramai Cina Muslim akan jawab, âKami masih mualaf. Masih tak kenal kisah hidup Nabi SAW!â Kalau inilah jawaban kamu setelah 20 tahun peluk Islam, kamu sebenarnya tidak mencintai Nabi SAW pun! Bagaimana kamu boleh menangis dengan penuh perasaan menceritakan pengalaman kamu memeluk Islam tetapi kamu tak kenal kisah hidup Nabi?
Bayangkan seorang hamba ALLAH dakwa bahawa dia mencintai kamu. Lalu kamu pun soal sejauh mana orang itu kenal kamu. Orang itu langsung tidak tahu kamu umur berapa, kerja apa, hobi apa, suka makan apa, kampung kamu apa, belajar di mana dan lain-lain. Jelas orang ini menipu dirinya sendiri. Tak kenal, maka tak cinta. Bagaimana orang ini boleh mencintai kamu sedangkan dia tak kenal kamu?
Usah gunakan alasan kamu masih mualaf supaya kamu tidak rasa perlu untuk kejar ilmu tentang Islam. Kamu sebenarnya malas belajar tentang Islam. Kamu rajin bercakap tentang pengalaman hidup kamu sendiri seolah-olah pengalaman kamu lebih patut ditonjolkan dari pengalaman Nabi SAW memperjuangkan Islam!
Kamu tahu bahawa masyarakat Melayu mudah memaafkan kamu jika kamu masih jahil tentang alif ba ta walaupun sudah 20 tahun peluk Islam kerana kamu adalah mualaf. Tetapi cuba tanya iman kamu: Benarkah kamu seorang mualaf atau sebenarnya mukalaf yang tidak rasa kemanisan bertambahnya ilmu tentang Islam?
Adakah kamu rasa lebih manis terima zakat mualaf dari menuntut ilmu tentang kisah hidup Nabi SAW? Kamu tidak rasa malu pun untuk mengemis di masjid dengan meletakkan notis bahawa kamu mualaf. Tetapi adakah kamu tidak rasa malu bila terbukti alif ba ta pun kamu jahil?
Saya menghormati pendakwah Lim Jooi Soon kerana kerajinan beliau mengejar ilmu dan membina empayar dakwah beliau sendiri. Beliau memanggil pelbagai ilmuwan dunia untuk datang ke Malaysia melatih kita tentang ilmu Islam yang lebih intelektual.
Lim Jooi Soon belajar ilmu tentang maqasid syariah dan perbandingan mazhab. Bertungkus-lumus beliau membaca kitab-kitab ilmiah. Memang perit tetapi kalau sudah benar-benar cinta, tiada lagi yang mustahil. Yang perit menjadi manis. Yang susah menjadi mudah. Inilah cinta seorang yang beriman, bukan cinta seorang yang rela duduk di bawah tempurung mualaf selama-lamanya.
Pada era Malaysia baharu ini, sejauh manakah kamu berazam untuk melahirkan generasi Cina Muslim yang mampu mencabar arus globalisasi dari China? Mampukah kamu melahirkan tokoh-tokoh failasuf, ulama Cina Muslim yang mampu mengetuai perjuangan Islam global.
Bangsa Cina dikenali sebagai warga dunia sebab berada di mana sahaja dalam peta dunia. Sebagai Muslim, adakah Cina Muslim mampu menjadi khalifah di muka bumi? Kamu sudah berhijrah dari syirik ke tauhid, sekarang berhijrahlah kali kedua iaitu dari zon mualaf ke zon Khalifah.
* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment