Mogok tutup kedai berakhir

Friday, August 10, 2018

Mogok tutup kedai berakhir

Mogok tutup kedai berakhir

RANTAU PANJANG - Mogok tutup kedai di Pasar Bandar Tasek Raja selama dua hari, berakhir apabila hampir kesemua peniaga membuka premis, hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati peniaga sayur, buah-buahan, ikan, daging, ayam dan barangan runcit membuka kedai masing-masing seawal 6 pagi.

Kehadiran pengunjung juga bertambah berbanding ketika mogok bantahan sistem bayaran tempat letak kereta berpalang berlangsung pada Rabu dan semalam.

Peniaga buah, Zalila Ismail, 35, berkata, dia membuka semula perniagaannya hari ini setelah bercuti semalam dan kelmarin.

Akuinya, pendapatan peniaga terjejas apabila Pasar Bandar Tasek Raja tidak mendapat sambutan daripada pengunjung, dipercayai selepas sistem bayaran tempat letak kereta berpalang dikuatkuasakan 20 Jun lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh di pasar Tasek Raja]

[ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga teruskan mogok hari kedua]

"Pelbagai inisiatif lain boleh dibuat antaranya menggunakan kupon atau tempat letak kereta bermeter.

"Selepas pondok berpalang ini dibina, saya percaya ia mengundang ketidakselesaan kepada pengunjung," katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Bachok, Ashraf Hadi, 31, berkata, dia tidak kisah sekiranya dikenakan bayaran kerana isu tempat letak kereta adalah perkara biasa di seluruh negara.

Menurutnya, walaupun jauh dari rumah, dia antara pengunjung tetap Pasar Bandar Tasek Raja.

Katanya, dia tertarik dengan suasana pasar itu yang sistematik dan selesa, malah harga ditawarkan lebih murah daripada kedai lain.

"Kalau boleh mestilah nak percuma tapi bila difikirkan semula, saya tak kisah kalau diminta untuk bayar tempat letak kereta.

"Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin dan kerajaan negeri dapat bantu peniaga di sini, cari jalan penyelesaian kepada isu tersebut," katanya.

Sejak minggu lalu, tular gambar jemputan Memo Demonstrasi Secara Aman Bantahan Tol Berpalang di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Menerusi memo berkenaan, bantahan berlaku selama dua hari, manakala demonstrasi melibatkan satu hari sahaja.

Bagaimanapun, bantahan yang sepatutnya diadakan di hadapan Stesen Bas Bandar Tasek Raja, terpaksa ditukar ke Pasir Mas pada saat-saat akhir selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan injunksi Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) untuk menghalang mana-mana pihak supaya tidak menganjurkan perhimpunan di kawasan Pasar Tasek Raja.

Meskipun peniaga mendapat arahan supaya membuka kedai seperti biasa, namun hampir 90 peratus daripada 400 kedai di Pasar Bandar Tasek Raja tidak beroperasi selama dua hari bermula Rabu lalu.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment