Beri ruang anak muda bersuara
IPOH - Golongan belia harus diberikan ruang untuk mengekspresikan pendapat dan pandangan dalam usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan mereka.
Setiausaha Kehormat Majlis Belia Negeri Perak, Ahmad Shah Mohammad Salleh berkata, peluang-peluang seperti perlu untuk membolehkan suara anak muda didengari secara terus oleh kerajaan dan pihak berkepentingan.
Katanya, apa yang berlaku pada kerajaan ini sangat baik apabila kerajaan pusat menampilkan anak muda sebagai Menteri Belia dan Sukan begitu juga di peringkat negeri apabila exco yang bertanggungjawab terhadap belia juga masih dalam umur belia.
"Apabila peluang tidak diberikan, mereka akan menjauhkan diri. Jadi mereka tidak minat untuk terlibat dalam program-program yang berkaitan kenegaraan.
"Tetapi sebenarnya mereka bukan tak berminat tetapi ruang dan peluang itu tidak ada," katanya ketika menjadi tetamu SINAR Live dengan tajuk Sejauh Mana Semangat Patriotisme Dalam Diri Anak Muda, hari ini.
Ahmad Shah berkata, kepimpinan di peringkat daerah kurang memberikan peluang kepada golongan belia sebagai contoh jawatan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sebenarnya bukan jawatan itu yang hendak dibanggakan tetapi jawatan-jawatan yang ada diberikan itu memberi peluang kepada golongan belia untuk memberikan pandangan secara terus kepada pentadbir, pengurusan, kerajaan, bukan melalui orang kedua dan ketiga.
"Jadi seperti menteri dan exco dari kalangan belia, mereka boleh terus cakap jika ada isu yang tidak kena dengan golongan belia," katanya.
Menurut Ahmad Shah, usaha menanam semangat patriotisme dalam kalangan golongan muda amat mencabar.
Katanya, lima elemen perlu diberikan perhatian dalam usaha memupuk semangat patriotisme iaitu perpaduan, pendidikan, penerangan, program dan peluang.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment