Tak wajar tubuh syarikat air lain: Hasni

Sunday, August 12, 2018

Tak wajar tubuh syarikat air lain: Hasni

Tak wajar tubuh syarikat air lain: Hasni

ISKANDAR PUTERI - Pembangkang Johor menyifatkan langkah kerajaan negeri yang berhasrat menubuhkan syarikat air lain di negeri ini sebagai tidak wajar.

Ketuanya, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, penubuhan syarikat air lain untuk Johor akan melibatkan pelaburan yang jauh lebih besar berbanding usaha meningkatkan penguasaan dalam SAJ Ranhill.

“Saya kira langkah kerajaan untuk menubuhkan syarikat air kedua adalah langkah yang tidak wajar kerana ia akan melibatkan pelaburan yang jauh lebih besar berbanding dengan usaha untuk meningkatkan penguasaan kita dalam syarikat air yang sedia ada supaya kita lebih kuasa, lebih suara dalam syarikat air ini.

“Kerajaan BN telah ada perancangan untuk cara mengambilalih malah kerajaan BN pernah ditawarkan oleh pelbagai pihak untuk membantu bagi meningkatkan pegangan ekuiti dalam SAJ Ranhill dan juga supaya kita dapat lebih suara dalam syarikat tersebut,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar di sini hari ini.

Hasni berkata, usaha menubuhkan syarikat air lain di negeri ini, bukan sahaja akan merugikan SAJ Ranhill malah membebankan kerajaan negeri sehingga boleh menggagalkan industri air Johor.

Katanya, di Johor, terdapat lebih kurang 21,000 kilometer paip bagi negeri ini di mana setiap kilometer kerajaan negeri peroleh sekitar RM156 berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang iaitu hampir RM500 bagi satu kilometer paip.

“Dengan hasil hanya RM150 bagi satu kilometer paip yang boleh kita perolehi dan ini kita ada 21,000 kilometer paip, adalah sesuatu yang tidak menjadikan usaha untuk mewujudkan syarikat air kedua ini sebagai satu yang menguntungkan sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang.

“Lebih baik saya mengesyorkan kerajaan negeri berbincang dengan pihak kerajaan persekutuan bagaimana kerajaan negeri boleh memiliki SAJ Ranhill yang hari ini dimiliki oleh pihak swasta. Itu adalah langkah lebih munasabah dan lebih praktikal untuk diambil oleh kerajaann negeri,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri boleh mengambilalih SAJ Ranhill secara mandatori, beliau merasakan terdapat pelbagai kaedah untuk membolehkan kerajaan negeri memiliki pegangan utama dalam syarikat tersebut.

Ujarnya, ia termasuklah kemampuan melabur bagi mempunyai kawalan mengurangkan tarif air selain meningkatkan pelaburan untuk mengenalpasti sumber-sumber baharu demi kelestarian bekalan air Johor.

[ARTIKEL BERKAITAN: Johor bakal wujudkan syarikat air baharu]

“Saya kira ia harus dibuat dengan kaedah yang mana adanya intervensi daripada kerajaan sama ada melalui suruhanjaya mahupun oleh pihak kementerian. Perlu ada penglibatan daripada, ia tak boleh secara kerajaan negeri sahaja kerana industri air ini dikawal oleh Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Jadi untuk itu perlu ada intervensi daripada ataupun kerjasama daripada kerajaan persekutuan dan juga suruhanjaya,” katanya.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri boleh mengambilalih SAJ Ranhill yang dimiliki pihak swasta dengan intervensi pihak kerajaan dan berkaitan

“Jadi dengan itu kerajaan berada dalam kedudukan yang mempunyai kelebihan dalam nak menentukan kedudukan syarikat syarikat air di seluruh negara

“Kalau negeri-negeri lain syarikat air boleh dimiliki kerajaan negeri, kenapa tidak Johor,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment