Saran tempatkan projek kereta nasional ketiga di Terengganu

Wednesday, August 15, 2018

Saran tempatkan projek kereta nasional ketiga di Terengganu

Saran tempatkan projek kereta nasional ketiga di Terengganu

KUALA TERENGGANU - Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan cadangan menempatkan projek kereta nasional ketiga di pantai timur.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah itu bagi merangsang pertumbuhan perindustrian di negeri berkenaan.

"Oleh kerana kesemua projek kereta nasional sebelum ini ditempatkan di Pantai Barat khususnya Lembah Klang, tidakkah kerajaan berhasrat untuk menempatkan projek kereta nasional ketiga ini ke Terengganu yang kini masih tergolong dalam kategori termiskin," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga diminta mengkaji insentif khusus kepada pelaburan itu agar ia boleh ditempatkan di negeri ini.

"Sekiranya projek ini dijalankan di sini (Terengganu), sudah tentu ia dapat menyediakan peluang pekerjaan, penempatan industri kecil dan sederhana yang akan menjadi vendor kepada projek berkenaan.

"Tidakkah ia boleh membantu mengelakkan lebih ramai belia berhijrah ke Lembah Klang, sekaligus dapat mengelakkan pertambahan kesesakan yang sedia ada," katanya.

Dalam perkembangan sama, Amzad berkata, beliau menghargai usaha supaya projek itu dibiaya sepenuhnya oleh pihak swasta.

[ARTIKEL BERKAITAN: Projek kereta ketiga negara tak guna duit rakyat]

"Pengumuman bahawa projek ini tidak menggunakan dana mahupun wang awam dan kerajaan adalah satu perkembangan yang baik.

"Saya juga berterima kasih atas respons kerajaan yang akan mengambil perhatian mengenai perkara ini serta akan mengkaji galakan dan insentif sewajarnya," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment