Padah longgok sisa binaan di kawasan perumahan

Sunday, August 12, 2018

Padah longgok sisa binaan di kawasan perumahan

Padah longgok sisa binaan di kawasan perumahan

JOHOR BAHRU - Sebuah syarikat kontraktor didenda RM18,000 mahkamah majistret, di sini, hari ini atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal binaan di sebuah kawasan perumahan Bandar Selesa Jaya, Mei tahun lalu.

Syarikat TS Plumbing & Construction Sdn Bhd yang diwakili pengurus, Wong Woon Chin mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan majistret, Jailani Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa binaan di Tanah Lot 127197 Bandar Baru Selesa Jaya, di sini, kira-kira jam 10.26 pagi pada 9 Mei 2017.

Pertuduhan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 71(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang boleh memperuntukkan hukuman denda maksima RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pada prosiding berkenaan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Sakinah Ibrahim memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada syarikat berkenaan.

Katanya, perkara itu kerana kesalahan dilakukan perlu dinilai atas kepentingan awam yang mana sisa sampah buangan terbabit boleh menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran.

Bagaimanapun, peguam dilantik syarikat itu, Asyiqin Azman memohon hukuman denda mahkamah dapat dikurangkan.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment