Lima tahun hidu bau busuk

Friday, August 10, 2018

Lima tahun hidu bau busuk

Lima tahun hidu bau busuk

JOHOR BAHRU - Bukan sahaja perlu menghidu bau busuk, tetapi penduduk sekitar Taman Molek, Johor Jaya di sini, terpaksa berdepan masalah air kotor dari tandas rumah mereka setiap kali ia digunakan.

Masalah didakwa berpunca dari loji rawatan kumbahan yang tidak berfungsi dengan baik sejak lima tahun dahulu meskipun dimaklumkan sudah beberapa kali dibaiki pihak berkaitan.

Difahamkan, loji rawatan kumbahan Taman Molek itu merupakan fasiliti awam kawasan perumahan membabitkan Taman Redang Lakeview 1, Redang Lakeview 2, Redang Villa, Molek Ria, Taman Molek, Rumah Pangsa Molek, dan Molek Regency.

Penduduk Taman Redang Lakeview 1A, Khairuddin Kadir, 43, berkata, masalah berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu telah diadukan kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan lanjut dibuat.

Katanya, kawasannya iaitu Redang Lakeview 1 mempunyai sebanyak 132 rumah dan hampir 70 peratus daripadanya mengalami masalah air naik dan tidak boleh mengalir.

“Kita dah buat laporan ini beberapa kali kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) untuk tangani masalah ini. Akhirnya kami ambil inisiatif untuk bertemu wakil rakyat dan memberitahunya mengenai perkara ini.

“Kami sudah tidak tahan lagi, tambah pula dalam tempoh tiga bulan ini masalah semakin serius. Bila waktu puncak itu orang gunakan tandas atau bilik air untuk mandi, air kotor ini naik, baunya jangan cakap lah,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Chris Oh, 54, berkata, masalah kerosakan loji berkenaan dilihat menjadi semakin teruk apabila ia turut mengakibatkan pencemaran bau selain air kumbahan yang tidak boleh dirawat.

Katanya, air kumbahan tidak dirawat itu kemudiannya mengalir terus ke parit berdekatan sehingga menimbulkan  bau busuk serta boleh merosakkan ekosistem di kawasan tersebut.

“Kita tengok di sini bila pam dalam loji itu rosak, air kumbahan ini memang tidak dirawat. Kalau kita tengok ada saluran dalam parit berhampiran ini, ia sepatutnya keluar air bersih dan tidak berbau, tetapi sekarang dah jadi lain.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Dua minggu masa baik pulih loji kumbahan ]

“Parit ini pula dekat sangat dengan rumah, kalau hujan lebat, parit ini dinaiki air yang tinggi bila bercampur pula dengan kumbahan kotor memang kita tidak boleh tahanlah,” katanya.

Sementara itu, penduduk Rumah Pangsa Molek, Azizah Tambol, 65, memaklumkan, atas inisiatif sendiri penduduk di kawasannya mengupah tukang paip untuk mengurangkan masalah dialami akibat kerosakan loji berkenaan.

“Kita tahu masalah ini berpunca dari loji kumbahan, tetapi disebabkan terlalu lama tiada tindakan lanjut dibuat, penduduk akhirnya kongsi duit panggil tukang baiki sikit masalah kumbahan di blok kami ini.

“Memang boleh kurang sikit tapi masalah ini berlaku juga. Jadi mohon perkara ini diselesaikan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment