Hayati kisah, pengorbanan Nabi dan Rasul
KUALA LUMPUR - Zulhijjah merupakan bulan yang mulia dalam Islam kerana pada bulan ini umat Islam menunaikan Rukun Islam yang kelima dan melaksanakan ibadah korban.
Kemuliaan bulan ini dibesarkan dengan galakan melaksanakan amal ibadah terutamanya apabila berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah iaitu pada Hari Arafah sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.
Kemudian sepanjang empat hari bermula pada hari raya, umat Islam amat digalakkan untuk melaksanakan ibadah sembelihan kerana mengikuti jejak Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.
Penceramah bebas, Rizuan Rahmat berkata, walaupun bulan Zulhijjah kali ini disambut dalam suasana Malaysia baharu namun umat Islam perlu untuk memperingati kisah dan pengorbanan para Rasul yang terdahulu khususnya Rasulullah SAW yang komited, ikhlas dan bersusah payah melaksanakan perintah ALLAH SWT.
Menurutnya, ini antara teladan penting yang perlu dicontohi oleh seluruh umat Islam pada tahun ini.
"Sudah pasti ia akan mendapat tentangan dan halangan dari musuh ALLAH yang tidak mahu menerima Islam sebagai cara hidup.
"Tetapi bagi saya ini dalah lumrah yang dihadapi oleh para Rasul seperti yang tercatat dalam sejarah," katanya kepada Sinar Harian berkongsi pandangannya.
Jelasnya lagi, ketika umat Islam menyambut hari raya ini, takbir masih dilaungkan sebagai tanda membesarkan ALLAH.
Namun, dalam masa yang sama terdapat segelintir masyarakat yang meloloskan diri dari kebesaran ALLAH dan menolak autoriti Allah dalam kehidupan mereka.
"Mereka ini sebenarnya ingin melepaskan diri dari ikatan agama dan sekaligus menganggap Allah tidak lagi besar, yang besar adalah hawa nafsu dan akal mereka.
"Ekoran daripada itu, mereka melepaskan diri dari hukum hakam ALLAH SWT seolah-olah mereka tak kenal ALLAH SWT, apa yang mereka lakukan seperti tidak ada dosa dan pahala," katanya.
Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Selangor itu berpandangan, kumpulan ini sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan hawa nafsu mereka .
Katanya, ini termasuklah isu menukar jantina dan gaya hidup, di mana lelaki hendak menjadi perempuan dan perempuan hendak menjadi lelaki.
"Sedangkan perkara ini adalah haram di sisi Islam disebabkan mereka tidak mengenal haram dan halal melakukan perkara yang haram bahkan bangga melakukannya," katanya.
Beliau turut mengajak umat Islam hari ini supaya sama-sama menghayati Aidiladha dengan penuh rasa keinsafan mengenangkan diri yang kerdil itu masih terlalu sedikit menyumbang untuk agama.
Ujarnya lagi, sesungguhnya diri manusia ini sebenarnya insan yang masih jauh dengan semangat berkorban iaitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perintah ALLAH.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment