Tunggu keputusan Mahkamah Singapura

Friday, October 5, 2018

Tunggu keputusan Mahkamah Singapura

Tunggu keputusan Mahkamah Singapura

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bersimpati dengan kes seorang wanita dari bandaraya ini yang ditahan di Singapura kerana disyaki menjual barangan tiruan di republik berkenaan sejak Jun lalu.

Mangsa, Nur Sabrina Ahmad, 33, kini berada dalam status jaminan polis, namun tidak dapat keluar dari negara tersebut sehingga kes selesai.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah menghubungi suami Nur Sabrina, Zul Iskandar Awaldin, 39, untuk mengetahui perkembangan lanjut berhubung kes tersebut.

Menurutnya, lelaki berkenaan menyatakan isterinya telah dihadapkan ke mahkamah pada 26 September lalu dan akan dijatuhkan hukuman pada 24 Oktober depan atas tuduhan menjual barang tiruan di Singapura.

"Status Nur Sabrina semenjak ditahan 1 Jun lalu adalah dalam jaminan polis dan tidak boleh meninggalkan Singapura serta tidak boleh bekerja di negara itu untuk mendapatkan pendapatan.

"Sejak ditahan Nur Sabrina menumpang di rumah saudaranya selain tinggal di hotel bajet di Geylang dengan kadar sewa SG$50 sehari dan dua bulan terakhir ini menyewa flat HDB di Boon Lay dengan kadar sewa SG$600 sebulan.  

"Semua kos tersebut terpaksa ditanggung suaminya, Zul Iskandar," katanya.

Adun Kota Iskandar itu memberitahu, pihaknya menghulurkan bantuan segera kepada keluarga itu dan menunggu dahulu keputusan yang akan dijatuhkan ke atas mangsa.

"Menurut Zul Iskandar lagi daripada pertanyaan lisan dengan beberapa pihak di Singapura, jika sabit kesalahan isterinya boleh didenda lebih kurang SG$30,000 atau penjara lima hingga enam bulan.

"Kita akan berikan bantuan keperluan harian kepada keluarga Nur Sabrina melalui agensi kerajaan dan dari segi bantuan denda kita akan melihat keputusan Mahkamah Singapura pada 24 Oktober depan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memahami ramai rakyat Johor yang bersimpati dengan musibah yang menimpa keluarga berkenaan dan ramai juga yang berhajat untuk menghulurkan bantuan kepada beliau.

"Bagi mengelak keadaan yang tidak diingini, saya mencadangkan supaya mereka yang ingin hulurkan bantuan dan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke dalam akaun Maybank Zul Iskandar 151017013660.

"Marilah kita berdoa agar keluarga berkenaan diberikan kesabaran oleh ALLAH SWT dalam menghadapi ujian ini.

"Kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan saya ucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan anda," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Nur Sabrina yang sedang hamil anak keempat tertekan selepas ditahan di negara berkenaan sejak Jun lalu dan tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri dan Aidiladha bersama keluarga di sini.

Zul Iskandar yang selama ini menemani isterinya di Singapura, tidak lagi dibenarkan memasuki negara itu kerana telah melebihi tempoh masa yang dibenarkan dan hanya dibenarkan masuk paling awal pada 16 Oktober ini.

Ketiga-tiga anak perempuan mereka yang berusia sembilan, lima dan setahun lebih tinggal bersama Zul Iskandar di Taman Mutiara Rini yang mana rumah itu adalah milik bapa Nur Sabrina.

Zul Iskandar sebelum ini menolong isterinya berniaga dan sekarang ini tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga tiga orang mereka.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment