Lata Sungai Keding janji ketenangan

Friday, October 5, 2018

Lata Sungai Keding janji ketenangan

Lata Sungai Keding janji ketenangan

JELI - Tenang dan mendamaikan. Itu antara gambaran awal boleh diberikan penulis sebaik tiba di Lata Sungai Keding, Gemang, Jeli.

Siapa sangka, dalam kepesatan pembangunan yang sedang dikecapi Gemang, masih ada lokasi seindah Lata Sungai Keding ini.

Umum mengetahui Gemang antara kawasan agak membangun di Jeli dengan penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dan Maktab Rendah Sains Mara Jeli, sudah cukup menggambarkan bagaimana situasi di kawasan itu.

Ditambah pula kewujudan hotel dan premis perniagaan, ia tentunya menggalakkan kepesatan pembangunan di Gemang sendiri, sehingga ramai seolah-olah tidak percayai masih ada kawasan rekreasi seperti di Lata Sungai Keding itu.

Percaya atau tidak, hakikatnya Lata Sungai Keding sudah wujud sekian lama cuma mungkin tidak begitu dikenali berikutan hanya berfungsi sebagai tempat mandi-manda dan berkelah bagi penduduk setempat.

Lalang’s bakal dibangunkan

Lata berkenaan kini sedang dibangunkan untuk dijadikan kawasan rekreasi Lalang’s yang menyediakan pelbagai kemudahan.

Lalang’s kini dalam proses dibangunkan dan bermula lebih setahun lalu, ia bakal dilengkapi dewan terbuka, chalet, asrama, tapak perkhemahan lelaki dan wanita, restoran, mini zoo serta tandas.

Pengurus projek, Norzahar Daud berkata, biar pun belum siap sepenuhnya, namun Lalang’s sudah menerima kunjungan ramai pihak.

“Di sini terdapat 24 lot tapak perkhemahan untuk wanita dan lelaki yang dibuat berasingan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.

Menurutnya, Lalang’s dijangka siap sepenuhnya tahun depan dengan kemudahan lebih lengkap dan sempurna.

Norzahar berkata, pihaknya juga mengutamakan penjagaan ekosistem di kawasan tersebut termasuk melarang keras aktiviti mengancam flora dan fauna di situ.

“Memancing, memburu, menebang pokok-pokok hutan di sini dilarang sama sekali dan saya dah lekatkan tanda-tanda peringatan di setiap penjuru Lalang’s agar perkara ini diberi perhatian oleh pengunjung,” katanya.

Lokasi aktiviti lasak

Norzahar berkata, Lalang dan Lata Sungai Keding akan menyediakan pelbagai kemudahan kepada orang ramai termasuk aktiviti lasak di sini.

“Kita ada trek yang baik untuk laluan pejalan kaki, pendaki, aktiviti jungle tracking, basikal lasak, 4x4, kenderaan pelbagai permukaan (ATV), luncur air dan beberapa aktiviti lain.

“Semuanya akan ada di sini sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa,” katanya.

Lalang’s dan Lata Sungai Keding yang terus menggamit pengunjung ini bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat, malah ada yang datang dari seluruh pelosok negeri.

Lebih membanggakan, ia pernah menerima kunjungan pelancong dari Singapura yang merupakan pengunjung paling jauh ketika ini.

“Bagaimanapun bulan lalu, ada pelajar-pelajar Korea yang mengikuti program bersama UMK turut menjadikan Lata Sungai Keding sebagai lokasi untuk menjayakan aktiviti mereka,” katanya.

Naik taraf ekonomi penduduk Jeli

Dalam pada itu, Norzahar berkata, usaha membangunkan Lata Sungai Keding dengan kewujudan Lalang’s sebenarnya antara usaha pihaknya untuk sama- sama membangunkan Jeli.

Beliau berkata, dengan adanya pusat rekreasi di tapak seluas dua hektar ini, ia secara tidak langsung membantu mempromosi Kelantan dan Jeli dari aspek pelancongan.

“Ia turut menjana ekonomi setempat apabila ramai berkunjung ke Jeli ini,” katanya.

Norzahar berkata, projek membangunkan Lata Sungai Keding tidak akan berhenti di situ, sebaliknya beliau akan menyediakan pelbagai pakej menarik untuk tarikan pelancong termasuk pakej ke tempat pelancongan lain yang ada di daerah ini dan sekitar.

"Misalnya kita akan tawar pakej ke Gua Stan, Gunung Reng, Kolam Air Panas, Perkampungan Orang Asli (OA) Sungai Rual untuk pelancong melihat kehidupan, aktiviti dan cara hidup masyarakat OA di sini. Sebab bagi kita bila ada pakej-pakej seperti ini ia lebih menarik orang ramai untuk datang kerana perjalanan mereka kita susun dengan baik selain keselamatan juga lebih terjamin," katanya.

Orang ramai yang ingin melihat dan mengetahui lebih lanjut tentang Lata Sungai Keding dan Lalang's ini boleh layari laman Facebook Taman Rekreasi.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment