Perluas kawasan operasi bas sekolah

Tuesday, October 9, 2018

Perluas kawasan operasi bas sekolah

Perluas kawasan operasi bas sekolah

TANAH MERAH - Pengusaha bas sekolah di Kelantan berharap Kemen­terian Pengangkutan dapat memperluaskan kawasan operasi bas sekolah dari satu daerah kepada lima daerah ataupun ke seluruh negeri.

Setiausaha Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Izani Zakaria berkata, buat masa ini pihak berwajib hanya meluluskan kawasan operasi mengikut daerah di dalam alamat syarikat sahaja.

“Kita berharap ia dapat diperluaskan ke seluruh negeri. Ini kerana, setiap sekolah ada membuat aktiviti dan lawatan luar dari daerah tersebut.

“Pihak berwajib harus memberi kelonggaran kepada pengusaha bas sekolah dan mereka tidak perlu membuat Lesen Perubahan Sementara (LPS) ketika membawa pelajar untuk mengadakan lawatan luar dari Kelantan pada cuti hujung minggu atau cuti umum,” katanya.

Beliau berkata, warna bas sekolah juga perlu diubah dari warna kuning kepada amber (oren) atau warna campuran yang boleh menarik minat pihak sekolah untuk menyewa bas mereka bagi program luar.

“Pada masa kini pihak sekolah tidak berminat untuk menyewa bas sekolah bagi mengadakan aktiviti luar Kelantan walaupun bas sekolah tersebut masih dalam kondisi baru,” katanya.

Izani berkata, sudah sampai masanya pihak kementerian mencari pendekatan atau mekanisme untuk mentrans­formasikan bas sekolah supaya seiring dengan perkhidmatan bas awam lain.

Dalam masa sama katanya, pihaknya berharap kementerian dapat membantu atau memberi dana kepada Persatuan Pengusaha Bas Sekolah.

“Masalah ini telah dibangkitkan semasa pihak kami mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada 3 Ogos lalu di bangunan Parlimen.

“Sehingga kini kami masih menunggu jawapan daripada pihak kementerian. Kami harap isu ini dapat dipertimbangkan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment