Peniaga dibenarkan berniaga sementara

Thursday, October 4, 2018

Peniaga dibenarkan berniaga sementara

Peniaga dibenarkan berniaga sementara

KUALA TERENGGANU - Penjaja di kawasan pantai Batu Burok dibenarkan berniaga sementara bermula dari Hotel Primula hingga ke restoran makanan segera A&W sehingga kerajaan negeri mencapai keputusan baharu berhubung lokasi kekal mereka berniaga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri,  Ahmad Shah Mohamed berkata, keputusan dijangka dapat diketahui minggu depan dan dalam tempoh kebenaran sementara itu peniaga diharap dapat mematuhi peraturan ditetapkan.

"Walaupun mereka diberi kebenaran sementara, kita nak pastikan mereka patuhi syarat pihak berkuasa tempatan dari segi kebersihan, keselamatan dan lain-lain perlu dipatuhi.

"Hanya kawasan ini dibenarkan berniaga dan mereka tidak boleh menjaja di sepanjang dataran Pantai Awam Batu Burok," katanya perjumpaan bersama persatuan peniaga medan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Kelab Eksekutif MBKT Batu Burok, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Adun Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi, wakil dari MBKT dan wakil persatuan penjaja.

Kerajaan sebelum ini mengeluarkan larangan menjaja di sepanjang dataran awam pantai Batu Burok bermula 1 Oktober berikutan menerima rungutan daripada orang ramai yang berkunjung ke sana sukar meletakkan kenderaan kerana dipenuhi peniaga.

Selain isu parkir kenderaan, notis larangan yang dikeluarkan MBKT dua minggu sebelum ia dilaksanakan itu juga berkait rapat dengan isu kebersihan dan kesesakan lalu lintas di sepanjang laluan berkenaan.

Bagi memastikan peniaga dan penjaja dapat berniaga dengan lebih tersusun serta kondusif, kerajaan menempatkan mereka di kawasan letak kereta berhampiran Pusat Akuatik MBKT Batu Burok yang terletak kira-kira 500 meter dari dataran awam pantai Batu Burok.

Bagaimanapun, peniaga yang terlibat tidak bersetuju dengan keputusan itu dengan beberapa alasan tertentu dan perjumpaan bersama kerajaan diadakan hari ini. Terdapat 79 peniaga berlesen dan 40 penjaja tanpa permit niaga di pantai Batu Burok.

Menurut Ahmad Shah, kerajaan akan membincangkan masalah ditimbulkan peniaga dalam mesyuarat akan datang dengan mengambil kira keperluan penjaja, kehendak pengunjung dan aspirasi kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Kerajaan mahu lihat tempat peranginan bersifat tempat peranginan, bersih dan selesa dikunjungi pelancong dalam dan luar negeri. Tapi kita tidak lupa kita ada peniaga dan penjaja yang sudah sekian lama mencari rezeki sekitar pantai.

"Oleh itu perlu ada penyelarasan supaya semua pihak dapat berfungsi dengan baik.

"Masalah tempat tidak sesuai, kita akan fikir balik jika perlu buat penambahbaikan kita akan buat penambahbaikan jika perlu pindah tempat lebih sesuai, kita lihat pelbagai sudut.

"Selepas buat keputusan nanti, peniaga kena ikut keputusan kita, di mana tempat yang kita putuskan, apa yang kita putuskan mereka kena ikut," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment