Pemilihan PKR: Pengundi merungut tiada saluran khas

Saturday, October 6, 2018

Pemilihan PKR: Pengundi merungut tiada saluran khas

Pemilihan PKR: Pengundi merungut tiada saluran khas

KUALA LUMPUR - Tiada saluran khas disediakan sejak awal waktu pengundian untuk warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) bagi sesi pemilihan PKR Cabang Lembah Pantai menyebabkan timbul rungutan daripada pengundi.

Kehadiran ramai ahli memenuhi dewan pengundian di Pusat Komuniti Eco Park Lembah Pantai sejak dibuka jam 10.12 pagi juga membuatkan proses pengundian mengambil masa yang agak panjang.

Situasi itu meresahkan pengundi lebih-lebih lagi golongan warga emas yang beratur dan tidak mampu untuk berdiri lama.

L Saivahamy, 46, berkata, dia menemani ibunya K Letchumy, 84, dan menunggu kira-kira satu jam namun masih belum sampai giliran masuk.

“Sepatutnya kena ada saluran khas, warga emas atau OKU yang datang boleh terus masuk dan undi,” katanya.

Kerusi untuk warga emas dan OKU disediakan di pintu masuk dewan pemilihan selepas menerima rungutan daripada ahli.

Bagi Mariani Ismail, 54, sistem pemilihan berkenaan sepatutnya mencontohi proses mengundi ketika PRU dengan menyediakan fast track kepada warga emas.

“Kalau diberi masuk dulu pun, kat dalam pun penuh jadi kena juga menunggu,” katanya.

Bagaimanapun, pihak pengurusan pemilihan kemudian mengambil langkah menyediakan kerusi kepada warga emas di barisan hadapan bagi membenarkan golongan berkenaan termasuk OKU masuk mengundi dahulu.

Kira-kira jam 11.20 pagi, barisan pengundi dipecahkan pula kepada dua bahagian mengikut kem Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Mohd Zaman Mohd Tasi iaitu calon bagi Ketua Cabang Lembah Pantai.

Langkah berkenaan bagi mengelakkan berlakunya limpahan dalam satu barisan dalam masa sama bagi tujuan mengawal keadaan supaya lebih teratur dan cepat.

Sesi pengundian bagi cabang berkenaan ditetapkan tamat pada jam 5.12 petang.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment