Pakar sakit puan, aktivis wanita terima Anugerah Nobel 2018

Saturday, October 6, 2018

Pakar sakit puan, aktivis wanita terima Anugerah Nobel 2018

Pakar sakit puan, aktivis wanita terima Anugerah Nobel 2018

OSLO - NORWAY. Anugerah Nobel Keamanan 2018 menjadi milik bersama Denis Mukwege dan Nadia Murad, kedua - dua mereka diberi anugerah tertinggi itu atas usaha menamatkan perilaku keganasan seksual sebagai senjata dalam peperangan.

Mukwege, 63, merupakan seorang pakar sakit puan dan pakar bedah yang sekian lama merawat ribuan wanita dan gadis mangsa rogol dan keganasan seksual di Republik Demokratik Congo.

Berkhidmat di Hospital Panzi yang terletak di bandar Bukavu sejak 20 tahun lalu, beliau mendapat jolokan 'The man who mends women' kerana rawatan yang diberikan kepada wanita yang menjadi sasaran keganasan seksual.

Nadia pula seorang wanita Yazidi dari bandar Sinjar di utara Iraq yang bergelar aktivis hak asasi manusia, namun beliau juga pernah dijadikan hamba seks oleh militan Daesh.

Tanggal 3 Ogos 2014, Daesh menyerbu perkampungannya, sejumlah 6,500 wanita dan kanak-kanak diculik manakala hampir 5,000 penduduk maut di tangan militan ketika serangan tersebut.

Selama lapan bulan beliau terpisah daripada keluarga akibat ditahan Daesh yang menjadikannya sebagai hamba seks, lebih menyayat hati ibu serta beberapa orang adik beradiknya turut maut.

Pada 2016, di usia 23 tahun, Nadia dilantik menjadi duta muhibah di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai simbol kebangkitan maruah mangsa pemerdagangan manusia.

"Kedua-dua penerima telah memberikan sumbangan penting memfokuskan perhatian dan memerangi jenayah perang," kata  Ketua Jawatankuasa Nobel Norway, Berit Reiss-Andersen, ketika mengumumkan penghargaan itu di Institut Nobel Norway di Oslo, semalam.

"Denis Mukwege mengabdikan hidupnya untuk membela mangsa keganasan seksual, manakala Nadia Murad adalah saksi yang menceritakan kekejaman yang dilakukan terhadap dirinya dan orang lain.

"Mereka telah memberikan perspektif lebih besar terhadap keganasan seksual dalam perang agar para pelaku dapat dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka," kata Reiss-Andersen.

Sementara itu, Mukwege berkata anugerah tersebut didedikasikan kepada semua mangsa kekejaman seksual di seluruh dunia.

"Selama hampir 20 tahun, saya menyaksikan jenayah perang terhadap wanita, gadis malah bayi perempuan, bukan sahaja di negara saya, tapi juga di beberapa negara lain," katanya yang turut berbangga menerima anugerah tersebut bersama Nadia yang disifatkan sebagai seorang wanita berani.

Bagi Nadia, yang merupakan wanita ke-17 menerima anugerah itu serta penerima kedua termuda selepas Malala Yousafzai, penghormatan yang diterimanya adalah simbol harapan agar satu hari nanti keadilan dapat diberikan kepada semua wanita yang menjadi mangsa keganasan seksual. - CNN



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment