Modul khusus IPT persediaan ke arah mengundi

Monday, October 1, 2018

Modul khusus IPT persediaan ke arah mengundi

Modul khusus IPT persediaan ke arah mengundi

SERI ISKANDAR - Kerajaan negeri akan mewujudkan modul khusus bagi institusi pengajian tinggi (IPT) teknikal mendidik pelajar di luar bidang pengkhususan mereka.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, modul tersebut akan memberi pendedahan secara terperinci kepada pelajar mengenai isu semasa yang dalam negara sebagai persediaan apabila tamat pengajian kelak.

"Saya melihat universiti bersifat teknikal seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP) mempunyai pelajar cerdik pandai dan mereka turut mempunyai pengetahuan luas serta kemahiran seperti debat, pidato dan forum.

"Kerajaan negeri menawarkan agar satu modul khusus dihasilkan bagi melibatkan mereka selain daripada bidang teknikal seperti undang-undang, politik serta ekonomi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Cabaran Debat Muda alaf 21 Untuk 21 Tahun ke Bawah (CDM 2121) di Bilik Seminar 7, Undercroft, UTP, di sini, hari ini.

Tambahnya, amat penting untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai isu kenegaraan selaras dengan dasar kerajaan yang bersetuju untuk menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

"Intipati modul itu akan diterjemahkan menerusi kelas, seminar atau forum dengan menampilkan pakar yang mahir dalam bidang berkaitan supaya pelajar dapat memahami serta menanyakan pelbagai soalan mengenai sesuatu isu," katanya.

Abdul Aziz turut menyeru pihak IPT di negeri ini agar memberi laluan dan kemudahan kepada pelajar untuk membolehkan mereka mengikuti modul kenegaraan yang akan disediakan.

"Menerusi modul ini, ia secara tidak langsung dapat mengasah bakat kepimpinan pelajar sekali gus memberi faedah kepada IPT itu sendiri menerusi dasar yang mudah dan inovatif pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, pendebat Universiti Malaya (UM) diumumkan sebagai Johan dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,121 serta piala iringan manakala naib johan dimenangi pendebat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menerima wang tunai sebanyak RM1,500 dan piala iringan.

Pertandingan anjuran Kelab Debat UTP itu berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu lalu melibatkan 46 pasukan terdiri daripada 16 buah sekolah menengah dan 30 IPT seluruh negara.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment