Kerajaan tidak campur 'urusan peribadi' di sebalik pintu - Mujahid

Friday, October 5, 2018

Kerajaan tidak campur 'urusan peribadi' di sebalik pintu - Mujahid


Itu penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkaitan aktiviti peribadi yang dilakukan dalam kawasan persendirian.

Justeru beliau berkata, jika pegawai agama mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi agama Islam 'tiada lagi ketukan atau pintu dipecahkan'.

“Katakanlah kamu melakukan sesuatu secara peribadi, dalam kawasan persendirian, saya tidak akan masuk campur.

“Contohnya, Islam melarang minum arak tetapi jika kamu melakukannya di dalam kawasan kamu sendiri, maka sebagai kerajaan, saya tidak akan masuk campur," kata Mujahid dalam satu temubual bersama The Star.

Jelas Mujahid kerajaan tidak mahu menjadi polis moral dan hanya akan terlibat jika insiden berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah yang mengganggu kesejahteraan awam.

Mujahid turut dilaporkan mengecam tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan beliau dilakukan nanti.

“Isu penguatkuasaan khalwat ini telah disalahgunakan dan dieksplotasi untuk sesetengah kes. Adalah sangat penting mereka (pegawai penguat kuasa) tidak terlibat dalam lingkungan persendirian,” katanya. - UTUSAN ONLINE



sumber: utusan

0 comments:

Post a Comment