Kenyataan Mujahid terus dipersoal...

Saturday, October 6, 2018

Kenyataan Mujahid terus dipersoal...

Kenyataan Mujahid terus dipersoal...

SHAH ALAM - Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat membabitkan tempat peribadi menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah Hamidi berkata, mentafsirkan perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan ALLAH, jelas sekali menampakkan kejahilan Mujahid dalam memperkatakan isu berkaitan agama.

Menurutnya, tidak cukup dengan cadangan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan, kini berhasrat untuk meminda dan memansuhkan apa yang terkandung dalam undang-undang syariah khususnya undang-undang khalwat.

“Mereka menganggap hukuman terhadap perbuatan berkhalwat didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Kerajaan yang kononnya cukup bijak dan hebat bagi mempertahankan perlembagaan negara itu berhujah, mereka menentang sebarang hukuman jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nizham berkata, kenyataan Mujahid dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam di negara ini boleh dianggap semakin melampau.

“Saya tertanya-tanya dalam keghairahan YB Menteri (Mujahid) memperjuangkan usaha menghapuskan hukuman khalwat di tempat privasi, apakah perasaan beliau jika anak atau ahli keluarga beliau sendiri terlibat dalam perbuatan itu?

“Apakah beliau akan kecewa atau tetap menganggap ia ‘dosa peribadi’ dengan ALLAH?

Menurut Nizham, bagaimanapun hakikatnya masyarakat tidak perlu membuang masa melayan Mujahid.

“Beliau (Mujahid) tidak ada bezanya dengan kelompok-kelompok pemikiran liberal yang sudah sekian lama wujud di negara ini. Mungkin beliau menganggap apa yang dilakukan adalah betul kononnya atas nama kebebasan dan mempertahankan perlembagaan.

“Kalau itulah hujahnya kenapakah hanya perkara berkaitan dengan hal ehwal Islam sahaja menjadi tumpuan? Kenapakah undang-undang syariah sahaja mahu diganggu-gugat atau dipinda? Apakah hanya pelaksanaan Islam sahaja perlu dilihat melanggar perlembagaan?

Nizham terus melontarkan persoalan demi persoalan dalam kenyataannya.

“Kalaulah dosa peribadi mahu diambil kira berapa banyak anak luar nikah akan dilahirkan? Berapa ramai bayi dibuang? Berapa ramai gadis akan mengandung anak luar nikah? Apakah ini semua dinamakan kebebasan atau ‘privasi’ seseorang?

“Kalau benarkan YB Menteri memperjuangkan kebebasan dan mahu memastikan Islam tidak dipandang serong apakah pendirian YB Menteri dalam soal penzinaan dan anak luar nikah? Apakah itu juga boleh dianggap ‘dosa peribadi dengan ALLAH’? soalnya.

Nizham berharap agar umat Islam tanpa mengira latar belakang, idelogi politik bangkit menentang cadangan Mujahid berkenaan berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat di tempat peribadi habis-habisan.

“Soal perlembagaan dengan hukum-hakam agama apatah lagi yang sudah termaktub dalam al-Quran adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Kepada Mujahid, janganlah melihat segala-galanya berkaitan soal dunia sahaja, ingatlah juga akhirat kerana umat Islam di negara ini bukan sahaja perlu akur kepada undang-undang dan Perlembagaan tetapi juga mematuhi serta melaksanakan perintah ALLAH SWT dalam al-Quran,” tegasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat]

Mujahid dalam temubual eksklusif bersama The Star menyatakan tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment