Kebebasan media era kerajaan PH

Saturday, October 6, 2018

Kebebasan media era kerajaan PH

Kebebasan media era kerajaan PH

RAMAI yang bertanya sama ada era kerajaan Pakatan Harapan (PH) media lebih bebas atau lebih disekat? Jika dikatakan ada sekatan di sana sini, kenapa tiada tangkapan atau dakwaan ke mahkamah.

Namun bagaimana pula dengan penulisan atau seumpamanya yang berleluasa di media sosial? Kadang kala terdapat banyak unsur fitnah, cercaan atau cukup kasar dan menjengkelkan yang melambak dalam media sosial.

Adakah media sosial tidak tergolong sebagai media utama? Sejauh mana PH berusaha memansuhkan beberapa akta berkaitan media dapat membendung penulisan melampau dalam media sosial?

Kebebasan bersuara merujuk kepada usaha mencari, menerima dan menyalurkan maklumat dan pendapat melalui apa-apa juga media, serta tanpa sempadan. Di Malaysia, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan semuanya berkaitan kebebasan asasi, manakala Perkara 10 (1) (a) mengatakan secara khusus bahawa “tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara”.

Menurut Kent (2015), kawalan media merujuk kepada sebarang proses yang menjejaskan kadar ali­ran atau jenis maklumat yang terdapat dalam sesebuah sistem media. Bentuk kawalan media, iaitu penapisan yang membabitkan usaha menyembunyi atau mengehadkan bilangan sesuatu maklumat yang disiarkan, serta maklumat yang terpesong (distorted) demi menjaga kepentingan satu pihak sahaja.

Kawalan media boleh berubah akibat perkembangan teknologi yang semakin canggih, atau perubahan masyarakat yang semakin heterogen mengakibatkan pemusatan kawalan media semakin sukar dibendung dan ini kurang produktif dari segi ekonomi.

Oleh itu, kebebasan media ber­kaitan dengan kebebasan individu, kebebasan menerima dan menyebarkan maklumat serta mengakses semua media sebagai alat komunikasi sosial.

Sebelum PRU14, Pakatan Harapan mendakwa tiada kebebasan media di negara ini hinggakan tradisi amalan kewartawanan siasatan yang merupakan kunci bagi sistem semak dan imbang dalam proses demokrasi sudah hilang.

Pakatan Harapan lebih “berkarya” dan menyalurkan maklumat, mendapat dan berkongsi maklumat diperoleh melalui media sosial dan internet. Ini kerana mereka mendakwa media konvensional di negara ini dikawal secara tidak demokratik.

Kajian menunjukkan bahawa pengunaan internet semakin me­luas dalam pilihan raya tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018. Penciptaan blog, YouTube, jalur lebar, telefon pintar dan media sosial membolehkan pembangkang menyampaikan mesej mereka.

Malah, Barisan Nasional (BN) juga kurang bergantung pada media arus perdana konvensional. Parti itu menggembleng kumpulan lasykar siber atau cybertroopers.

Perang siber di mana rakyat mendengar mesej daripada kedua-dua pihak. PRU14, kebanyakan pengundi lebih yakin pada mesej PH yang disebarkan melalui media sosial dan mengundi mereka.

Dalam manifesto PH menya­takan bahawa: Memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Akta Anti­berita Tidak Benar 2018, mengkaji kem­bali Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan.

Perdana Menteri Tun Dr Maha­thir menyatakan: “Sejak kami me­ngambil alih tampuk kepimpinan, kerajaan telah memenuhi janji tidak akan menyekat kebebasan bersuara dan media. Namun kebebasan ini tidak termasuk usaha dan laporan untuk menghasut kaum-kaum ­supaya bermusuh sehingga tercetus huru-hara dan rusuhan".

Perdana Menteri, dalam sidang media 16 Mei lalu menegaskan: “Kita tiada niat untuk mengekalkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 tetapi kita juga akan buat kajian ­undang-undang keselamatan negara dan beberapa lagi undang-undang berkenaan yang menyekat kebebasan dan hak bersuara rakyat.”

Kerajaan PH mahu agar wujud kebebasan media di negara ini, ­namun ia mempunyai hadnya. Dalam nada yang sama kerajaan pimpinannya tidak akan menyekat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana laporan berita yang tidak tepat selagi ia tidak mengganggu ketenteraman negara.

Dengan nada yang tegas PH juga mengatakan bahawa jika media sengaja membuat laporan untuk menimbulkan huru-hara atau ke­tegangan, mereka akan hadapinya dengan undang-undang khas. Tindakan itu bagi membolehkan pe­ngamal media tempatan menge­tahui sendiri dengan lebih jelas mana satu berita palsu atau mana satu benar dalam laporan mereka.

Perdana Menteri juga men­cadangkan undang-undang mengenai berita palsu akan diberi definisi baharu dan jelas supaya orang ramai dan syarikat penerbitan faham apa yang dimaksudkan. Sejauh mana akta ini berjaya dihapuskan?

Kerajaan PH menjamin akan memberi ruang untuk menyuburkan kebebasan media di negara ini. Melalui transisi politik untuk menjadi sebuah negara demokrasi matang dan media memainkan pera­nan penting dalam membantu merealisasikan objektif itu.

Kerajaan hari ini juga dilihat lebih bersahaja serta bersedia untuk menerima ­kebebasan media. Kita mengharap agar janji dalam manifesto PH berkaitan dengan kebebasan media dapat ditunaikan seperti mana yang mereka dakwa selama ini.

*Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, UiTM

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment