'Redalah, kebajikan keluarga kami bantu' - TPM

Saturday, October 6, 2018

'Redalah, kebajikan keluarga kami bantu' - TPM



DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan menjaga kebajikan keluarga terutama anak anggota bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lemas di lombong di Puchong, Rabu lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia termasuk memberi perhatian terhadap aspek pendidikan anak mangsa yang masih kecil.

“Pemergian (mereka) amat mulia dan lepaskanlah (perasaan) dengan reda.

“Kebajikan keluarga akan dijaga dan kementerian serta pihak bomba akan bantu keluarga terutama pendidikan anak-anak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi isteri Allahyarham Adnan Othman, Shahmiza Salleh, 32, dan keluarganya di Taman Jaya Lukut, Port Dickson, hari ini.

Adnan dan lima anggota bomba lain, lemas ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat remaja, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lalu.

Sementara itu, Shahmiza, nyata terharu atas kunjungan Timbalan Perdana Menteri bagi bertanya khabar.

“Saya amat berterima kasih kerana dalam kesibukan tugasnya, beliau sempat meluangkan masa menziarahi saya dan keluarga mentua.

“Dr Wan Azizah sempat berpesan untuk saya meneruskan kehidupan dan tidak menganggap ujian ini sebagai pengakhiran.

“Ini akan menjadi kekuatan kami meneruskan kehidupan,” katanya yang mempunyai dua anak, Nur Aishah Damia, 4 dan Nur Aliyah Maisarah, 2.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment