Jenazah Adnan selamat dikebumi

Thursday, October 4, 2018

Jenazah Adnan selamat dikebumi

Jenazah Adnan selamat dikebumi

PORT DICKSON - Jenazah penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Adnan Othman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lukut pukul 2.00 petang ini.

Jenazah diiringi kira-kira 500 orang terdiri daripada anggota keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan Allahyarham dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Talkin dibacakan oleh Imam Tiga Masjid Kariah Lukut, Ahmad Sumeh Mad Muhtar.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Besar, Aminuddin Harun dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, jenazah Allayarham yang dibawa dari Balai Bomba Seksyen 15 Shah Alam, Selangor tiba di rumah keluarganya di Taman Jaya Lukut pukul 11.48 pagi sebelum dibawa ke Masjid kariah Lukut Mukim Port Dickson untuk disolatkan sekali lagi.

Isteri Allahyarham Adnan, Norshamiza Salleh, 32, ketika ditemui pemberita berkata beliau.redha dengan ujian pemergian suami tersayang.

"Saya tidak tahu nak cakap apa, kejadian dah berlaku dan saya berfikiran positif kerana suami pergi dalam keadaan baik," katanya.

Sementara itu, Anwar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Adnan.

"Dia (Adnan) berkhidmat dan sumbangannya pada negara adalah untuk menyelamatkan orang. Jadi kebajikan keluarga harus diberi keutamaan," katanya.

Aminuddin pula berkata Kerajaan Negeri akan memberi bantuan kepada keluarga mangsa.

"Saya ucap takziah kepada keluarga Adnan. Kehilangan ini adalah kehilangan yang amat besar," katanya.

Adnan meninggalkan seorang isterj dan dua orang anak masing-masing berumur tiga dan lima tahun.

Semalam, enam anggota penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. รข€" Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment