Isa bidas pihak dakwa PD tak membangun

Saturday, October 6, 2018

Isa bidas pihak dakwa PD tak membangun

Isa bidas pihak dakwa PD tak membangun

PORT DICKSON â€" Calon Bebas PRK Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad membidas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa bandar Port Dickson tidak membangun.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai tidak berasas dan beranggapan pihak yang berkempen menggunakan isu berkenaan mempunyai ‘masalah penglihatan’.

“Banyak pembangunan (telah) dikecapi bandar pelancongan ini yang dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu. Mereka ini ada masalah penglihatan dan perlu menggunakan cermin mata. Banyak pembangunan dikecapi antaranya pembinaan lebuh raya Seremban-Port Dickson dan penyediaan infrastruktur lengkap untuk kemudahan rakyat.

“Tinggal lagi kita cuma perlu meningkatkan lagi kemajuan dan pembangunan di daerah ini,” katanya selepas menghadiri majlis berkhatan di Kampung Pachitan, di sini, hari ini.

Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam pada itu berkata beliau bercadang untuk mengusulkan mengenai pelebaran jalan Sepang-Lukut kepada empat lorong sekiranya mendapat mandat daripada rakyat, 13 Oktober ini.

Katanya, ia sebahagian daripada langkah menarik lebih ramai pelancong ke daerah itu.

Hari ini merupakan hari kelapan kempen PRK Parlimen Port Dickson sejak ia bermula pada 29 September lalu.

PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pas Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Mohd Isa.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN, Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan sebagai hari pengundian awal.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment