Bantu bina rumah Orang Asli di Selangor

Saturday, October 6, 2018

Bantu bina rumah Orang Asli di Selangor

Bantu bina rumah Orang Asli di Selangor

KUALA LUMPUR - Menerusi permainan dalam telefon pintar dikenali sebagai Datum Tap, masyarakat boleh terlibat dalam usaha amal membangunkan rumah Orang Asli di Selangor apabila rumah maya yang dibina menerusi permainan itu akan diubah menjadi rumah sebenar.

Inisiatif tersebut merupakan usaha dibuat DatumCorp International Sdn Bhd (DatumCorp), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama sebuah NGO amal, Epic Society.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata, usaha berkenaan dilaksanakan sempena kempen #DatumHomesforAll di mana terdapat bahagian dari hasil jualan hartanah bawah DatumCorp akan disumbangkan untuk pembinaan rumah Orang Asli.

"Daripada 708 unit projek Datuk Jelatek yang sedang dibangunkan oleh DatumCorp, sebanyak 108 unit telah terjual. Ada bahagian daripada keuntungan melalui jualan unit-unit inilah akan digunakan untuk membina rumah Orang Asli dengan bantuan Epic Society.

"Semakin banyak kita jual, semakin banyak bantuan rumah boleh dibina khususnya untuk komuniti Orang Asli di Selangor. Ini selari dengan apa yang saya sebutkan dengan konsep meraikan budaya bantu membantu sesama komuniti.

"Sebahagiannya adalah melalui nilai pembelian hartanah di PKNS melalui DatumCorp. Jika format ini berjaya, mungkin kita boleh lebarkan kepada PPRT, dan juga perkara-perkara lain yang boleh dibangunkan,"katanya selepas melancarkan Kempen #DatumHomesforAll, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan pemeteraian MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif DatumCorp, Shytul Shahryn Mohamad Shaari dengan Presiden Epic Society, John-Son Oei.

Sementara itu, Jon-Son Oei, berkata, pihaknya terharu apabila diberi peluang bekerjasama dengan DatumCorp menerusi kempen tanggungjawab sosial korporat berkenaan.

"Kewujudan Datum Tap adalah pada waktu yang tepat bagi menyampaikan dan menjayakan matlamat kami dalam membudayakan komuniti Orang Asli. Umum mengetahui permainan telefon pintar biasanya untuk bersuka ria dan mungkin memenangi hadiah namun Datum Tap bergerak seiring dengan hasrat bagi memenuhi kehendak komuniti secara tidak langsung mendidik masyarakat tentang komuniti orang asli,"katanya.

Datum Tap boleh dimuat turun dengan iOS dan Android. Penyertaan permainan itu boleh dibuat dengan memilih 'Like' Facebook Datum Jelatek, log masuk dalam aplikasi mudah alih.

Peserta boleh menang ganjaran maya untuk merebut hadiah utama dan hadiah mingguan terdiri daripada Huawei P20 Pro dan hadiah utama berupa pakej melancong ke Osaka, Jepun selama enam hari, lima malam.

Pemenang hadiah utama akan diumumkan pada 12 Januari 2019 seiring dengan tempoh akhir kempen #DatumHomesforAll.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment