Cikgu Pa fokus perjuang Islam

Thursday, October 4, 2018

Cikgu Pa fokus perjuang Islam

Cikgu Pa fokus perjuang Islam

DUNGUN -  “Bina keperibadian dan integriti diri sendiri dahulu sebelum membina keyakinan orang lain terhadap kita”.

Itu prinsip Pengetua Sekolah Menengah (SM) Islam Darul Bayan, Pinang Merah, Paka, Che Wan Mustaffa Che Wan Kaman dalam menyebarkan dakwah.

Bukan lahir daripada keluarga ulama, ustaz atau pemimpin Islam, lelaki berusia 50 tahun ini berusaha melonjakkan diri ke arah itu dan berjuang ke arah kelestarian Islam.

Di kala anak muda lain sibuk mengejar dunia, beliau berusaha dekatkan diri dengan ALLAH dan dalami ilmu agama dengan cara tersendiri.

Cikgu Pa korban masa untuk diri sendiri demi anak didik dan masyarakat.

Che Wan Mustaffa yang mesra dipanggil ‘Cikgu Pa’ berkata, pendidikan awalnya di sekolah harian biasa, malah beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Perguruan Malaysia dan bukannya bidang agama.

Selepas tamat diploma pada 1992, saya bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman.

“Selepas lapan tahun bergelar guru kerajaan atau kakitangan awam, saya ambil keputusan drastik melepaskan kerjaya itu walaupun ketika itu masih tidak jelas perjuangan masa hadapan tetapi saya tekad.

“Pada 2003, saya dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Rendah Islam Darul Bayan. Saya antara pendidik terawal yang sama-sama berjuang membuka sekolah ini,” katanya.

Gejala sosial dorong dekati agama

Bapa tujuh cahaya mata itu berkata, ketika remaja, beliau melihat ramai rakan seangkatan 'hanyut' dan terlibat gejala sosial membuatkan dirinya tersedar dan berminat mendekati Islam.

“Minat saya dalam ilmu agama timbul ketika di maktab perguruan dan ketika itu saya bimbang dengan persekitaran yang menunjukkan keruntuhan akhlak. Bermula dari situ saya belajar dan kerap mendekati ahli-ahli agama dan ulama.

Cikgu Pa bersama keluarganya yang banyak memberi dorongan.

“Saya sering ke masjid dan pusat Islam semata-mata ingin menimba ilmu.

“Pada 2016, saya melanjutkan pengajian Diploma Tasawur Islam di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Kuala Lumpur. Saya juga mengikuti pengajian Islam Darul Bayan selama setahun,“ katanya.

Tidak henti timba ilmu

Katanya, dia kini dilantik sebagai Pengetua Sekolah Menengah (SM) Islam Darul Bayan dan masih lagi menimba ilmu serta memanfaatkan peluang yang ada.

“Sebahagian besar sesi pengajian adalah tidak formal. Saya pernah berguru dengan Tuan Guru Haji Shuib Ahmad di Marang dan dengan arwah Tuan Guru Dr Harun Din dalam perubatan Islam.

“Sehingga kini, saya sering berulang-alik ke Kelantan menimba ilmu dengan Tuan Guru Haji Saari Hussin Al Ahmadi di Pusat Tarbiyah di Surau Hj Awang Alim,“ katanya.

Cikgu Pa (kiri) bersama pelajarnya ketika dI SR Islam Darul Bayan.

Kata Cikgu Pa, selain berusaha memartabatkan SM Islam Darul Bayan hingga ke persada antarabangsa, beliau turut berkhidmat dengan masyarakat.

“Saya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pinang Merah dan Pengerusi Pasti An-Nurrin, Kampung Pinang Merah.

“Selain itu, saya turut memegang jawatan AJK Penaja Pasti Kampung Tebing Tembah dan Pasti Kampung Nyiur, Naib Pengerusi dan Setiausaha Masjid Pinang Merah serta Setiausaha Badan Khairat Kampung Pinang Merah.

“Pelbagai tugas dan jawatan saya pegang tetapi yang penting kena bijak membahagikan masa serta amanah dalam setiap perkara,” katanya.

Mahir dalam perubatan Islam

Anak jati kelahiran Paka ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri apabila turut terlibat dalam dunia perubatan Islam.

“Saya adalah perawat Islam dan mendapat ijazah perubatan Islam dari arwah Dr Harun Din (Perubatan Darussyifa).

"Selain Darussyifa, saya banyak mengikuti kursus rawatan Islam yang lain dan sehingga kini pesakit datang dari seluruh Malaysia," katanya.

Selain itu, beliau tidak pernah menyangka bergelar pemimpin masyarakat kerana hanya bercita-cita menjadi guru ketika remaja.

Untuk sampai ke tahap sekarang, Cikgu Pa turut berdepan cabaran dan laluan sukar tetapi yang penting baginya adalah memperkemas keperibadian diri terlebih dahulu.

“Pada peringkat awal memang sukar bina keyakinan masyarakat dan pelbagai cemuhan diterima.

“Terlebih dahulu keperibadian diri dan keluarga juga harus menjurus ke arah perjuangan Islam serta menjadi contoh kepada masyarakat.

Cikgu Pa turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Anak-anak saya juga dididik dalam persekitaran cintakan Islam dan sekarang melanjutkan pengajian hingga ke luar negara dalam bidang agama,” katanya.

Besar harapan pendidik ini untuk melihat SM Islam Darul Bayan disanjungi, bahkan impian hidupnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Pelajar di Darul Bayan miliki kelebihan kerana mengikuti integrasi dua aliran. Aliran arus perdana dan pada masa sama tidak abaikan aliran agama.

“Sehingga sekarang terdapat 360 pelajar dari seluruh Malaysia dan seramai 30 pelajar Darul Bayan ditaja ke luar negara. Kita yakin Darul Bayan akan terus jadi rebutan dan suatu hari nanti akan dinaik taraf sehingga ke peringkat kolej.

“Manakala impian diri saya juga untuk membina sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak serta mempunyai pusat rawatan Islam sendiri,” katanya.  



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment