Cadang perkenal status 'Kampung Bersih Dadah'

Thursday, October 4, 2018

Cadang perkenal status 'Kampung Bersih Dadah'

Cadang perkenal status 'Kampung Bersih Dadah'

LANGKAWI - Kerajaan negeri disaran memperkenalkan status ‘Kampung Bebas Dadah’ bagi kampung-kampung di Kedah yang tidak mempunyai masalah penyalahgunaan dadah.

Ketika membuat cadangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, status itu boleh menjadi motivasi dalam usaha membendung masalah berkenaan di negeri tersebut.

“Kampung-kampung (yang diisytiharkan bebas dadah) ini  dapat memberikan kesan reverse psychology hasil penghargaan ini selain menjadi contoh kepada penduduk kampung lain yang ada kes (penyalahgunaan dadah) untuk membersihkan kampung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis penutupan Program Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) Daerah Langkawi anjuran Agensi Antidadah Kebansgaan (AADK) di Desa Wang Tok Rendong, di sini hari ini.

Menurutnya cadangan itu boleh dilaksanakan selepas proses pelantikan ketua-ketua kampung baharu selesai bulan depan.            

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK  Datuk Seri Zulkifli Abdullah yang turut hadir pada majlis tersebut menyokong cadangan berkenaan yang baginya sejajar dengan usaha pembanterasan dadah AADK.

Menurutnya AADK telah mengenal pasti 13 kawasan di Kedah yang dikategorikan zon merah dan menjadi tumpuan mereka berikutan jumlah kes penyalahgunaan dadah yang tinggi.

“Kawasan-kawasan yang sedia hijau (bebas daripada kes dadah) sekarang ini juga harus diberikan galakan yang berterusan supaya ia kekal hijau dan kita akan mengkaji bagaimana komuniti di situ berjaya memastikan kawasan mereka tidak dimasuki masalah dadah,” katanya.

Beliau berkata AADK juga sedang menyemak semula semua program yang dijalankan agensi itu bagi memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Pengumpulan data yang lebih tepat sedang dibuat dan sebelum hujung tahun ini kita berharap akan dapat gambaran yang penuh bagi membolehkan kita menetapkan sasaran kita tahun depan untuk mengurangkan zon merah ini,” katanya. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment