Bas Panorama beri manfaat 6,000 penuntut UTeM

Tuesday, October 9, 2018

Bas Panorama beri manfaat 6,000 penuntut UTeM

Bas Panorama beri manfaat 6,000 penuntut UTeM

ALOR GAJAH - Perkhidmatan bas Panorama yang beroperasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang bermula Sabtu lalu (6 Oktober) dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 6,000 penuntut kampus itu.

Anggota Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abd Wahab berkata perkhidmatan yang ditawarkan dari UTeM ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu dapat membantu memudahkan pergerakan penuntut untuk ke lokasi berhampiran dengan kadar bayaran (tambang) serendah RM2.

Katanya, bas tersebut akan mengambil penumpang di dua perhentian dalam kawasan kampus berkenaan iaitu di Kolej Kediaman Satria dan Kolej Kediaman Lestari setiap hari bermula 10 pagi hingga 5 petang.

"Kita prihatin dengan keluhan mereka yang tidak dibenarkan membawa kenderaan terutamanya pelajar tahun satu dan dua,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan bas tersebut di UTeM, Durian Tunggal di sini hari ini.

Sementara itu, rata-rata pelajar menarik nafas lega dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam usaha memudahkan pergerakan mereka.

Rian Azman (HE), 24, berkata, beliau menyambut baik penyediaan pengangkutan berkenaan dalam usaha memudahkan urusan pelajar kampus berkenaan.

"Ketika ini, permintaan agak tinggi, contohnya kalau nak ke pasaraya (Mydin) bas agak padat yang mana jika menaiki Grab Car anggaran tambang dikenakan antara RM15 dan RM20.

"Justeru, saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dengan kebajikan kami yang mana dengan adanya kemudahan bas ini secara tak langsung kami dapat menjimatkan wang dan masa," kata bekas Yang Dipertua Pelajar universiti itu.

Bagi Marina Mohamad, 22, pula kemudahan bas itu antara lain memberi peluang kepada penuntut dari negeri lain untuk melawat lokasi pelancongan menarik negeri ini.

"Bukan semua penuntut UTeM berasal dari Melaka, oleh itu mereka boleh berbuat demikian pada hujung minggu sekali gus meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke sini,” katanya. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment