Tak boleh berkompromi hal agama

Saturday, October 6, 2018

Tak boleh berkompromi hal agama

Tak boleh berkompromi hal agama

KUANTAN - Ahli Parlimen atau menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pegawai pengkuat kuasa agama supaya menghentikan operasi khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam di premis persendirian.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, hal berkaitan agama hanya terletak di bawah majlis agama negeri masing-masing dan tertakluk kepada kuasa raja-raja selaku ketua agama.

Menurutnya, justeru, kenyataan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa tidak terpakai di negeri lain, sebaliknya ia membabitkan penguasatkuasaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

“Beliau sebenarnya hanya menteri yang menjaga hal ehwal Jakim, hal-hal agama seperti penguatkuasaan yang terletak di bawah negeri.

“Bagi saya, jika perkara berkaitan hal-hal agama ini kita tak boleh berkompromi. Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk mencegah kemungkaran dan digalakan membuat kebaikan... perkara sebegini sudah disebut dalam al-Quran serta harus diakui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mujahid dalam temubual eksklusif dengan The Star bahawa tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Mujahid sepatutnya berbincang dan meminta pandangan terlebih dahulu daripada individu atau agensi terlibat sebelum mengeluarkan kenyataan.

Jelasnya, ini kerana ia melibatkan perkara-perkara dalam agama Islam dan ia sudah digariskan sejak dulu lagi.

Abdul Rahman berkata, dalam khalwat, pegawai penguatkuasa tidak boleh secara sewenang-wenangnya membuat serbuan atau operasi di rumah persendirian.. tetapi selepas menerima aduan baharu mereka boleh bertindak.

“Mereka hanya bertanggungjawab untuk bertindak atas aduan dibuat penduduk lain, tetapi ada pihak menggambarkan keadaan sebaliknya,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment