Popular kerana simbol arnab

Monday, October 1, 2018

Popular kerana simbol arnab



“Arnab sudah datang!” Reaksi itu spontan diberi orang ramai sebaik melihat kehadiran calon Bebas, Lau Seck Yan, 51, ketika mengedarkan risalah kempen di sekitar Teluk Kemang, Port Dickson, hari ini.

Calon wanita tunggal yang memilih simbol haiwan itu bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih sebagai penghargaan kerana mengenalinya.

Katanya, ia adalah tanda positif kerana mulai dikenali pengundi walaupun baru dua hari berkempen.

“Saya gembira dan puas hati apabila sudah ada yang kenal saya. Ini petanda baik dan menunjukkan pendekatan saya berjumpa pengundi adalah kaedah tepat.

“Saya tidak popular seperti calon lain. Saya perlu bekerja keras untuk meraih undi dan mendapat sokongan masyarakat di Parlimen Port Dickson,” katanya.

Sementara itu, suami Seck Yan, Poh Seng Hiap, 51, yang setia menemani isterinya berkempen sejak semalam turut kagum dengan semangat ditunjukkan wanita terbabit.

Katanya, mereka bangun seawal jam 6 pagi untuk ke Port Dickson bagi melakukan tinjauan mesra dan berkempen.

“Semangat isteri saya sangat tinggi dan dia tidak pernah merungut atau kelihatan letih walaupun lebih 12 jam kami berjalan dan bertemu orang ramai.

“Isteri saya sudah biasa buat kerja ini kerana dia seorang sukarelawan. Dia buat semua ini kerana ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment