Peneroka jangan terpedaya berita palsu

Wednesday, October 10, 2018

Peneroka jangan terpedaya berita palsu

Peneroka jangan terpedaya berita palsu

KUALA LUMPUR - Koperasi Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad mengingatkan golongan peneroka agar tidak terpedaya dengan berita palsu yang tular berkaitan penutupan koperasi dan pembekuan modal.

Setiausahanya, Anuar Malik berkata penularan berita itu berniat jahat supaya peneroka hilang keyakinan terhadap pihaknya dan mengeluarkan pegangan modal segera.

"KPF menafikan berita palsu yang sedang tular di kalangan peneroka Felda yang mendakwa KPF sedang dilanda masalah dan bakal ditutup serta penebusan modal syer ahli akan dibekukan.

"Berita tidak benar ini disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab supaya peneroka hilang keyakinan kepada KPF dan menghasut peneroka agar mengeluarkan pegangan modal syer mereka segera sebelum dibekukan.

"Kami menyeru agar peneroka tidak terpedaya dengan berita palsu tersebut sebaliknya mereka perlu mendapatkan maklumat yang tepat dengan merujuk terus kepada KPF dan pengurusan rancangan Felda serta tidak menggunakan khidmat pihak ketiga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sindiket penipuan itu mensasarkan golongan peneroka dengan mengenakan caj sehingga RM100.

"Sindiket penularan berita palsu ini sebenarnya cuba mengambil kesempatan menawarkan khidmat dan menjadi pengantara bagi urusan untuk menebus modal syer di Ibu Pejabat KPF dengan mengenakan caj sehingga RM100 kepada mereka.

"Lembaga KPF memandang serius isu ini kerana menjejaskan nama baik dan perniagaan. Kami juga bersedia mengambil tindakan tegas ke atas pihak-pihak penyebar fitnah ini mengikut saluran yang sewajarnya," katanya.

Katanya lagi, ahli KPF perlu terus meletakkan kepercayaan dan meningkatkan pemilikan modal syer.

"Lembaga dan pengurusan KPF sedang giat meneruskan usaha meneroka kepelbagaian pelaburan dan perniagaan yang mampu menjana keuntungan yang optimum dan memberi dividen yang baik serta pelbagai perkhidmatan kepada ahli," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment