Norhizam minta maaf atas keterlanjuran kata

Wednesday, October 10, 2018

Norhizam minta maaf atas keterlanjuran kata

Norhizam minta maaf atas keterlanjuran kata

MELAKA TENGAH - Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee yang memohon maaf atas ketelanjuran kata akan berusaha untuk membaiki kelemahan komunikasi terutama ketika berhadapan situasi tegang.

Malah Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka itu bertekad untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat negeri ini selepas perbalahan dengan penduduk Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu, di sini, semalam.

“Saya memohon maaf terhadap kekasaran bahasa dan keterlanjuran kata pada kejadian petang semalam. Saya sedar insiden yang tular di media sosial sejak petang semalam telah memberi imej negatif kepada diri saya sebagai wakil rakyat dan kerajaan negeri.

“Suka saya tegaskan sebagai Adun yang dipilih oleh rakyat, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup penduduk terutama rakyat yang saya wakili dalam kawasan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perdamaian bersama beberapa wakil penduduk Kampung Pulau Nibong  yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Tey Kok Kiew di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, petang tadi.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Pulau Nibong, Md Derus Tompang berkata, pihaknya menerima dengan sepenuh hati permohonan maaf itu dan menganggap segala keterlanjuran adalah lumrah sebagai manusia biasa.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh orang Umno, penduduk kesal Norhizam tak profesional]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan tutup jalan ikut undang-undang: Norhizam]  

[ARTIKEL BERKAITAN: Ada pihak sengaja tular perbalahan]

“Saya juga bagi pihak penduduk berharap satu penyelesaian dapat dicapai yang memberikan situasi menang-menang untuk kedua belah pihak, saya yakin ia boleh diselesaikan dengan cara terbaik dan muafakat.

“Penduduk Pulau Nibong amat berterima kasih kepada kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, barisan Exco dan wakil rakyat. Kami akur bahawa rakyat sudah memberi mandat kepada kerajaan PH dan segala dasar-dasar kita ikut meskipun fahaman politik berlainan. Yang penting adalah kepentingan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Kiew berkata, isu penutupan jalan alternatif di Taman Akasia di Pengakalan Bata berkenaan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi mencapai jalan penyelesaian.

“MPHTJ akan berjumpa dengan penduduk dari kedua-dua pihak dan akan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai isu tersebut,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Norhizam bersama sekumpulan penduduk hadir bagi membincangkan isu penutupan jalan alternatif di Taman Akasia yang menjadi laluan utama penduduk selepas pihak MPHTJ mengambil keputusan menutup jalan berkenaan pada 2 Oktober lalu.

Bagaimanapun, perbincangan yang sepatutnya berlangsung dalam keadaan baik sebaliknya menjadi tegang dengan kehadiran kira-kira 20 penduduk Kampung Pulau Nibong yang terletak bersebelahan taman perumahan berkenaan.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment