Kesal kerajaan sekat kebebasan bersuara

Thursday, October 4, 2018

Kesal kerajaan sekat kebebasan bersuara

Kesal kerajaan sekat kebebasan bersuara

BAGAN SERAI - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak kesal dengan sikap kerajaan negeri cuba menyekat penganjuran program Himpunan Kebangkitan Ummah Perak yang diadakan selepas solat Jumaat hari ini.

Pengarahnya, Datuk Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata, program penyatuan umat Islam dan Melayu negeri Perak itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di pekarangan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi di sini kini terpaksa berpindah lokasi ke Maahad Tahfiz Al-Akhlak Al-Islamiah, Masjid Tinggi susulan menerima tekanan banyak pihak termasuk Exco Agama, Asmuni Awi.

Menurutnya, tekanan dan panggilan telefon bertalu-talu diterima pihaknya selepas mempromosi program himpunan itu melalui media sosial awal bulan lalu.

"Lebih mengecewakan, pihak penganjur dan pengurusan kariah masjid turut diugut segelintir pihak susulan penganjuran program itu.

"Seolah-olah program NGO Ummah ini memberi ancaman kepada keselamatan rakyat di sini, "katanya kepada media selepas menganjurkan majlis persidangan meja bulat Himpunan Kebangkitan Ummah Perak membabitkan lebih 50 NGO melayu dan Islam di sini hari ini.

Khalil Idham Lim berkata,  setelah menerima tekanan bertali arus daripada kerajaan PH Perak, Ummah Perak akur untuk memindahkan lokasi perhimpunan ke tempat lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Ummah Perak masih tidak berpuas hati dengan pelbagai halangan dihadapi untuk menganjurkan program bukan berbentuk kepartian.

"Sebagai kerajaan memperjuangkan kebebasan bersuara, program memperkasakan umat Islam dan Melayu seperti ini sepatutnya diraikan kerajaan PH Perak, bukan disekat.

"Bagaimanapun, halangan sebegini tidak akan mematahkan semangat Ummah Perak dengan kerjasama NGO melayu dan Islam untuk terus berusaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu pada masa hadapan.

"Kita juga berharap tiada lagi sebarang bentuk sekatan atau halangan dikenakan kerajaan PH Perak terhadap mana-mana NGO yang membawa agenda perjuangan positif, "katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ummah Malaysia, Kamaruzzaman Mohammad mengesahkan pelancaran cawangan kelima NGO itu di Perak selepas menerima sokongan padu lebih 50 NGO melayu dan Islam negeri itu.

Menurutnya, pelancaran itu membolehkan Ummah Malaysia kini memiliki lima cawangan termasuk Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Ummah akan bertindak selaku satu NGO yang akan cuba menyatupadukan umat Islam dan orang Melayu di negara yang semakin berpecah-belah selepas PRU14 disebabkan perbezaan politik.

"Kita juga akan memastikan suara umat Islam dan Melayu didengari kerajaan baharu PH dan tidak diperlekehkan kerana kita tidak mahu ada pihak cuba menafikan hak keistimewaan orang Melayu dan umat Islam sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, "katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment