Bas Harapan Johor bantu pelajar ke sekolah

Friday, October 5, 2018

Bas Harapan Johor bantu pelajar ke sekolah

Bas Harapan Johor bantu pelajar ke sekolah

SIMPANG RENGGAM â€" Masalah ketiadaan bas dan kesukaran pelajar Tingkatan Enam yang tinggal di kawasan Simpang Renggam untuk ke sekolah akhirnya berjaya diselesaikan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, masalah yang berlarutan sejak awal bulan Julai lalu itu berjaya diselesaikan pada awal bulan ini apabila Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) memperkenalkan laluan baharu Bas Harapan Johor.

“Laluan baharu SE003 ini merupakan inisiatif kerajaan negeri Johor yang prihatin terhadap penduduk Renggam dan Simpang Renggam bagi memudahkan perjalanan mereka dan menjimatkan kos sara hidup mereka.

“Kos perbelanjaan laluan baharu ini adalah sebanyak RM260,000 yang ditanggung seratus peratus oleh kerajaan negeri dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dengan jumlah jarak laluan untuk satu perjalanan ialah 27.2 kilometer,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata kepada pemberita sewaktu Pelancaran Laluan Baharu Bas Harapan Johor dari Simpang Renggam ke Renggam di Terminal Bas Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Ramli Abdul Rahman; Adun Mahkota yang juga Ketua Amanah Kawasan Simpang Renggam, Mohd Said Jonit dan Ketua Cabang PKR Simpang Renggam, Wong Yung Ching.

Menurutnya, sejak pemberhentian operasi Syarikat Bas Renggam pada bulan Julai lalu, pelajar yang bersekolah di Renggam turut terjejas apabila mengalami kesukaran untuk ke sekolah.

“Saya sendiri pernah turun ke terminal ini untuk melihat isu ini dan akhirnya setelah melakukan perbincangan dengan PAJ, mereka bersetuju untuk menambah laluan Bas Harapan Johor dari Simpang Renggam ke Renggam.

“Jadi, bas ini adalah hadiah daripada kerajaan PH kepada semua rakyat Simpang Renggam dan pada masa akan datang kita juga berusaha untuk menambah laluan Bas Harapan Johor dari Renggam ke Kluang,”katanya.

Menurutnya, jumlah kekerapan waktu operasi laluan baharu Bas Harapan Johor adalah sebanyak enam kali sehari bermula jam 6.30 pagi hingga 6 petang dan laluan tersebut juga melalui kawasan klinik kesihatan, sekolah, pejabat pos dan pejabat kerajaan.  

Katanya, beliau juga berharap perkhidmatan bas percuma ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di Parlimen Simpang Renggam dan pada masa sama dapat merancakkan pembangunan di pekan Renggam dan kawasan sekitarnya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment