Ipoh bergegar jadi tanda tanya

Thursday, October 4, 2018

Ipoh bergegar jadi tanda tanya

Ipoh bergegar jadi tanda tanya

IPOH - Bunyi letupan kuat diikuti gegaran selama beberapa saat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini, masih menjadi misteri.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu mula mendapat perhatian netizen yang memuat naikkan status di laman sosial Facebook.

Pelbagai andaian dikeluarkan termasuk gegaran tersebut ekoran proses pemecahan batu di kawasan kuari di Simpang Pulai serta mendakwa kejadian itu sebahagian daripada latihan oleh pihak tentera.

Penduduk, Norsadrina Ismail,28, berkata dia terkejut terdengar bunyi kuat sebaik keluar dari pejabatnya di Taman Canning.

"Saya ingatkan bunyi letupan itu adalah kemalangan kerana ia sangat jelas pada pendengaran saya di susuli gegaran selama beberapa saat.

"Rakan-rakan turut memaklumkan perkara yang sama. Pelik juga sebab tidak pernah dengar bunyi kuat sebegitu," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, pihaknya tidak menerima sebarang isyarat atau amaran gempa dari alat pengesan gempa bumi.

"Tiada bacaan dikesan oleh alat gempa bumi di Perak. Maka, kejadian itu tidak berkaitan dengan kejadian gempa di Indonesia.

"Pejabat di Sitiawan menerima panggilan daripada orang awam bagi mendapatkan maklumat dan begitu juga dengan pejabat di Petaling Jaya untuk mengetahui kejadian sebenar," katanya.

Sementara itu, Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Abdul Nazar Abdul Hamid menafikan kejadian itu berpunca daripada aktiviti latihan pasukan seperti yang tular di media sosial.

"Pihak kem memaklumkan tiada sebarang latihan menggunakan bahan letupan dijalankan hari ini  malah, anggota turut merasai gegaran yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, sehingga jam 5.30 petang, tiada laporan polis diterima daripada 25 balai polis sekitar Ipoh.

"Tiada sebarang laporan mengenai apa-apa kejadian seperti itu dilaporkan.

"Polis masih berusaha mendapatkan lain-lain maklumat atau pengesahan dari pihak lain," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment