Beberapa seksyen dalam Auku akan dimansuhkan
PUTRAJAYA - "Beberapa Seksyen tertentu di dalam Akta Universiti dan Kolej 1971(Auku) akan dipinda dan dimansuhkan," kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Maszlee berkata cadangan untuk melakukan pindaan dan pemansuhan beberapa perkara dalam akta berkenaan dibuat kerana ia mengekang kebebasan pelajar.
"Saya akan membawa cadangan pemansuhan terhadap beberapa seksyen tertentu dalam Auku yang menghalang pelajar supaya aktif terlibat dalam politik,"katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Gabungan Pembebasan Akademik IPT (GPA-IPT) di sini semalam.
Menurut Maszlee cadangan tersebut akan dibawanya dalam sidang parlimen akan datang.
Pada masa yang sama Maszlee berkata mahasiswa daripada universiti-universiti awam akan diberi kuasa untuk mengendalikan pilihan raya kampus sendiri campur tangan pentadbir universiti.
Sementara itu Maszlee turut mengumumkan beberapa perkara hasil mesyuarat pertama beliau sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pagi tadi.
Menurut Maszlee, mesyuarat itu bersetuju untuk meminda undang-undang yang mengekang pelajar UIAM terlibat politik supaya membolehkan pelajar melakukan aktiviti mereka di universiti berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya pindaan berkaitan undang-undang tersebut akan dibincangkan dalam sesi mesyuarat akan datang.
Selain itu menurut Maszlee, UIAM juga akan menubuhkan satu Union bagi membolehkan pelajarnya menguruskan dan mengendalikan aktiviti mereka sendiri bagi menggantikan majlis perwakilan pelajar.
"Pada masa yang sama wakil pelajar juga akan diletakkan di dalam senat universiti untuk mewakil pelajar bagi membantu universiti membuat keputusan,"katanya.
Seperkara lagi, Maszlee juga memaklumkan, pemilihan dekan di universiti itu akan diadakan secara demokrasi iaitu melalui proses pemilihan seperti pilihan raya.
"Pemilihan dekan di universiti akan diadakan secara pilihan raya di fakulti-fakulti, di mana nama-nama dekan akan dipilih dan proses pemilihan akan diadakan melalui senat,"katanya.
Sementara Maszlee berkata dalam menjadikan UIAM sebagai medan intelektual terbuka, universiti itu juga akan mengadakan union debate dengan memanggil tokoh dari dalam dan luar negara.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment