Apa tengok-tengok?

Monday, October 1, 2018

Apa tengok-tengok?



PANDANG memandang menjadi punca seorang remaja berusia 17 tahun cedera di kepala, tangan dan badan selepas dipukul 12 lelaki menggunakan rotan dalam kejadian di Kawasan Rekreasi Gunung Pulai di Kulai, 21 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian berlaku pada 12.30 tengah hari ketika mangsa bersama dua rakannya sedang beriadah di kawasan berkenaan.

“Mangsa didatangi 12 lelaki dan terus memukulnya menggunakan rotan hingga mangsa cedera di kepala, tangan dan badan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat serbuan di beberapa lokasi,” katanya pada sidang media di IPD Kulai di Kulai, hari ini.

Beliau berkata, empat lelaki berusia 16 hingga 17 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu ditahan.

“Siasatan mendapati tiga daripada suspek ditahan di beberapa kawasan di Kulai masih bersekolah.

“Ujian air kencing mendapati mereka negatif pengambilan dadah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman bermula 25 September hingga 3 Oktober ini bagi siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah merusuh.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah suspek serta pembabitan dalam kes lain,” katanya.



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment