Saya nak jadi anggota bomba

Tuesday, October 9, 2018

Saya nak jadi anggota bomba

Saya nak jadi anggota bomba

TANAH MERAH - “Saya nak jadi anggota bomba, sebab nak selamatkan orang."

Itu luahan pelajar putus kaki akibat kemalangan tiga bulan lalu, Muhammad Asyraf Mohd Zuki, 13.

Hasrat pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Yacoob itu begitu tinggi, walaupun kehilangan kaki kirinya dalam kemalangan motosikal yang ditunggangnya terbabas.

Muhammad Asyraf berkata, dia kini masih dalam proses pemulihan setelah trauma akibat kejadian itu dan diberi cuti tiga bulan selepas mendapat rawatan di Hospital Tanah Merah (HTM).

“Memang perasaan saya pada mulanya bercampur baur, terkejut, sedih dan trauma selepas kaki sebelah kiri putus dan keadaan saya tidak seperti dulu apabila terpaksa jalan pakai tongkat.

“Tetapi hidup perlu diteruskan dan saya anggap kejadian ini sebagai penguat semangat untuk saya terus berjuang dan saya amat bersyukur nasib saya kini terbela apabila ada pihak yang simpati dan berhajat untuk memberi kaki palsu untuk memudahkan saya bergerak.

“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu dan saya harap dapat bersekolah semula dalam keadaan lebih baik selepas mendapat kaki palsu baru,” katanya.

Asyraf ditemui dalam kunjungan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan syarikat minuman kesihatan Tunas Duta Cemerlang Sdn Bhd di sini.

Dalam kejadian terbabit, Muhammad Asyraf putus kaki kiri selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan kaki kirinya putus akibat terlanggar besi pembahagi jalan ketika dalam perjakanan ke kediaman bapanya di Kampung Lawang, Telaga Bijih.

Remaja itu cedera parah dan tidak sedarkan diri selama lima hari dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) HTM pada mulanya sebelum dipindahkan ke wad biasa setelah kembali stabil.

Walau bagaimanapun kaki kirinya tidak dapat disambung dan Muhammad Asyraf kini terpaksa menggunakan tongkat sebagai sokongan dan menerima hakikat bahawa dia perlu meneruskan kehidupannya biarpun kehidupannya kini tidak seperti sebelum ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment