Penjual air ugut penguat kuasa dengan pisau

Thursday, October 4, 2018

Penjual air ugut penguat kuasa dengan pisau

Penjual air ugut penguat kuasa dengan pisau

KUALA TERENGGANU - Bengang ditegur kerana berniaga di kawasan larangan, seorang peniaga air mengamuk mengacukan pisau pemotong daging kepada penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Pantai Batu Burok, Selasa lalu.

Sebelum kejadian jam 10.40 pagi, suspek, 30-an, dikatakan ditegur oleh penguat kuasa yang bertugas membuat rondaan pemantauan kerana didapati berniaga di kawasan tidak dibenarkan.

Menurut sumber, salah seorang daripada penguat kuasa tersebut menegur tindakan suspek yang ketika itu berniaga air kelapa di lokasi berhampiran sebuah hotel yang merupakan kawasan larangan berniaga.

“Penguat kuasa terlibat mengarahkan agar suspek mengemas barang niaganya dan berpindah ke lokasi lain yang dibenarkan dalam kadar segera, namun tidak diendahkan.

“Penguat kuasa itu meminta kad pengenalan untuk dikompaun selepas suspek berdegil meskipun diarahkan beberapa kali. Keputusan penguat kuasa itu mengundang rasa tidak puas hati suspek yang kemudian mencapai pisau pemotong daging lalu diacukan kepada anggota terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, sambil mengacukan senjata itu, suspek mengugut dan menyatakan yang dia langsung tidak takut kepada penguat kuasa berkenaan dan juga pihak berkuasa lain termasuk polis.

“Suspek terus mengamuk dan menengking penguat kuasa itu sambil berkata yang dia langsung tidak takut sekiranya kejadian itu dilaporkan kepada polis sebelum situasi menjadi semakin tegang.

“Bimbang perkara tidak diingini akan berlaku, penguat kuasa itu mengambil keputusan masuk ke dalam kenderaan dinaiki sebelum pergi ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, suspek sudah ditangkap dan kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment