Nafas baharu pergerakan belia
MESYUARAT Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) kali ke-67 pada 5 Oktober ini bakal menyaksikan perubahan besar tampuk kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Pergerakan belia sekarang sedang mengalami satu perubahan yang lebih dewasa, zaman yang memerlukan mereka mengubah cara berfikir dan bekerja. Belia kini melihat persoalan negara bukan dari kegigihan pejuang-pejuang tatkala menentang penjajahan, tetapi dari segi pengertian dan pengisian kemerdekaan itu sendiri. Lebih positif melihat kepada kejayaan dan kegagalan negara, bukan melafazkan retorik atau mengagumi kejayaan lampau semata-mata.
Belia adalah golongan yang akan menentukan corak dan perkembangan sesebuah negara, bukan sahaja kerana jumlahnya majoriti, malah mereka mempunyai kesanggupan, daya usaha serta idealisme yang tinggi.
Pertubuhan-pertubuhan belia adalah tergolong sebagai unit-unit pertubuhan sukarela yang terpenting dalam negara. Ia menjadi satu syarat untuk menentukan suksesnya sistem demokrasi yang diamalkan di sesebuah negara.
Dalam senarai gerakan sukarela, pertubuhan-pertubuhan pelajar dan belia telah membuktikan kesanggupan untuk bertindak sebagai pengkritik sosial serta ejen perubahan yang paling efektif.
Tetapi dalam merakamkan perasaan tanggungjawab serta idealisme ini, perlu diberikan pentakrifan semula kepada istilah serta konsep yang digunakan supaya bersesuaian dengan iklim Malaysia; serta konsisten dengan keperibadian kebangsaan kita.
Demokrasi bukan bererti âWestminster type of democracyâ. Dalam keadaan yang sama, istilah dan konsep moden, pembangunan, sains dan teknologi, perancangan keluarga perlu diinterpretasikan semula agar tidaklah bertindak sebagai burung kakak tua yang sentiasa mengulangi sebutan orang lain.
Atas kesedaran inilah maka Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai badan induk pertubuhan belia di Malaysia mengorak langkah menyusun jentera pentadbiran dan organisasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Langkah pertama ialah dengan mewujudkan pelan strategik dikenalli âMBM in Business (MiB)â dalam memperkasakan belia melalui kesukarelaan, kepimpinan dan keusahawanan.
Keduanya ialah meletakkan pertubuhan belia merentasi kementerian dan tidak hanya berpaksikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semata-mata.
Dan ketiga yang memberi pengertian besar sekali ialah agar MBM ini merupakan satu pertubuhan belia yang benar-benar representatif mewakili hasrat dan perjuangan majoriti belia.
Pihak kerajaan khususnya melalui KBS telah memberikan bantuan kepada MBM sejak mula lagi. Bantuan ini telah ditambah selaras dengan perkembangan MBM dan peningkatan aktiviti-aktivitinya.
Sokongan kerajaan tanpa syarat kepada MBM seharusnya ditambah setelah melihat sendiri pelbagai kisah kejayaan dan inisiatif dalam membela nasib dan masa depan belia. Begitu juga dengan kedudukan semua badan gabungan MBM yang menghadapi kesukaran melaksanakan program tanpa sokongan dan bantuan kewangan yang tetap daripada KBS dan lain-lain kementerian termasuk kerajaan negeri masing-masing. Tuntutan ini di pihak belia semestinya selaras dengan jaminan serta pengiktirafan kerajaan kepada belia.
Pemilihan pucuk pimpinan MBM nanti akan menyaksikan seluruh penyusunan semula jentera pentadbiran dan organisasi MBM adalah dengan tujuan agar MBM benar-benar mewakili hasrat, aspirasi dan perjuangan majoriti para belia.
Maka, dalam mengemukakan soal inilah ditentukan ukuran kejayaan perjuangan MBM. Dari sinilah akan dapat dilihat kekuatan serta keutuhan tenaga belia. Oleh yang demikian, seluruh badan gabungan MBM melalui gerakan masing-masing perlu merancang kaedah latihan dan pengkaderan mereka serta mestilah mengemukakan soal pokok tersebut agar dibincangkan sepenuhnya.
Demi kepentingan negara, pemimpin-pemimpin negara perlu bersikap toleran terhadap kritikan daripada para belia. Mereka ini perlu menggunakan hak mereka sebagai pemimpin masa hadapan, satu hakikat yang diakui sendiri pemimpin-pemimpin negara. Pengabaian serta kecuaian, kekerasan tanpa semangat tolak ansur hanya mencetuskan kekerasan dan kemarahan anak muda.
Pemimpin belia harus lahir di tengah-tengah masalah masyarakat. Penekanan terhadap isu-isu belia seperti pengangguran dan pekerjaan, perumahan, pendidikan dan latihan serta peranan belia bagi menjayakan apa saja dasar kerajaan adalah wajar dilakukan.
Tetapi perlulah ditegaskan bahawa penekanan terhadap peranan belia ini tidak sekali-kali menampakkan kecuaian para belia, bahkan menampakkan kesungguhan belia-belia menyuarakan idea, pandangan dan kritikan, serta mengambil langkah positif dalam pelbagai kegiatan kebajikan dan ekonomi.
Apa yang diperlukan sekarang ialah satu ketentuan dan jaminan serta tindakan tegas daripada pihak kerajaan bagi membantu serta menjayakan inisiatif yang diusahakan itu.
* Penulis Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment