Isa Samad dakwa terima bantuan MIC berkempen di PD

Monday, October 1, 2018

Isa Samad dakwa terima bantuan MIC berkempen di PD

Isa Samad dakwa terima bantuan MIC berkempen di PD

PORT DICKSON â€" Calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad mendakwa beliau menerima bantuan dan sokongan daripada MIC dalam berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Port Dickson.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata terdapat beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu turun berkempen khususnya dalam mendekati pengundi kaum India di kawasan Parlimen tersebut.

“Ada kawan-kawan dalam kalangan pemimpin MIC di Port Dickson turun membantu saya mendekati pengundi India di sini, “ katanya pada sidang media di Kampung Bagan Pinang, di sini, hari ini.

Kawasan Pilihan Raya Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pemilih berdaftar dengan 21.41 peratus terdiri daripada kaum India, Melayu (42.35%), Cina (33.81%) dan 2.43% terdiri daripada lain-lain kaum.

PRK itu pada 13 Okt ini akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), PAS dan lima calon Bebas.

PH diwakili Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon PAS ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57.

Sementara dua calon Bebas terdiri daripada Mohd Isa, 69 dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33.

Tiga lagi calon Bebas lain ialah Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45.

PRK itu diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon BN dan PAS.

Pada 24 September lalu, BN sebulat suara memboikot PRK itu dengan tidak meletakkan calon kerana menyifatkan pertandingan berkenaan semata-mata memenuhi cita-cita politik individu dan cara pengosongan kerusi itu tidak demokratik. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment